Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Persediaan Sarawak jadi tuan rumah SUKMA 2024 berjalan baik – Abdul Karim

KANOWIT, 24 Feb: Persediaan Sarawak untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berjalan dengan baik, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, meskipun khuatir kerana ia merupakan penganjuran temasya sukan tebesar negara yang melibatkan 37 acara sukan, beliau percaya segala persiapan akan lengkap apabila menjelang hari sukan tersebut kelak.

“Hari ini hanya tinggal 176 hari sahaja lagi sebelum tiba hari penganjuran SUKMA, memang saya juga ada perasaan khuatir, apabila menjadi tuan rumah kejohanan ataupun sukan yang besar seperti ini dan prasarana dan kemudahan sukan mesti dalam keadaan terbaik.

“Organisasi lain berkenaan dengan logistik, penginapan dan sebagainya mesti teratur, tapi saya percaya mereka yang diamanahkan untuk menguruskan dari segi kemudahan, membaikpulih prasarana mengaturkan logistik, pengangkutan, tempat penginapan dan sebagainya akan selesai apabila kita sampai ke tarikhnya dan semuanya akan tersedia,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Belia Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Untuk rekod, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah temasya SUKMA 2024 sekali gus akan menganjurkannya buat kali ketiga selepas edisi 1990 dan 2016.

Temasya sukan itu dijangka akan diadakan dari 17 sehingga 24 Ogos di sembilan bahagian di Sarawak. Ia melibatkan Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.-TVS