Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
600 atlet Sukma Pahang tingkatkan disiplin, jati diri

Kuantan: Penganjuran Kem Motivasi yang disertai 600 atlet Pahang yang akan bersaing pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024, September depan diharap menjadi pembakar atlet untuk memburu pingat emas yang dipertandingkan.

Kem selama tiga hari bermula hari ini diadakan di Universiti Teknologi MARA kampus Jengka, Maran.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan berkata program bertujuan untuk memupuk semangat perjuangan yang tinggi dengan sasaran merangkul kejayaan pada pertandingan disertai.

Katanya, kem motivasi yang diadakan turut diharap dapat meningkatkan disiplin dan jati diri setiap atlet yang akan membawa imej Pahang di pentas kebangsaan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan mampu melahirkan atlet Tok Gajah berjiwa besar yang dapat menghasilkan merangkul pingat emas pada Sukma 2024 Sarawak, September nanti.

“Saya berharap dengan penganjuran kem motivasi ini, peluang kontinjen Pahang untuk berada pada kedudukan kedudukan lima terbaik Sukma Sarawak akan menjadi kenyataan terutama apabila prestasi atlet melonjak.

“Aktiviti yang diadakan sepanjang kem dapat meningkatkan ketahanan fizikal dan mental atlet. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dijangka akan merasmikan kem motivasi berkenaan,” katanya pada majlis pelepasan atlet ke Kem Motivasi, di sini hari ini.

Beliau menambah, MSP memberi sokongan kepada semua atlet yang bertanding untuk memastikan kontinjen Pahang meraih kejayaan membanggakan pada temasya sukan kali ini.

Bagi atlet angkat berat, Marsyahirazawati Mohd Rais yang bersaing dalam kategori 71 kilogram (kg) acara snatch, selepas menyertai kem motivasi semangat atlit akan meningkat dalam usaha memburu pingat emas di pentas Sukma.

“Pada Sukma 2022 Kuala Lumpur, saya turut menyertai kem motivasi bersama atlet lain di sini, rasa tanggungjawab berbekalkan semangat juang yang tinggi diterapkan pada setiap atlet.

“Semangat pahlawan Mat Kilau turut diterapkan sepanjang kem yang menjurus kepada usaha serta kesungguhan untuk berada di kemuncak kejayaan dalam apa juga acara sukan,” katanya.

Pada Sukma 2022 Kuala Lumpur Tok Gajah hanya sekadar berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.-Harian Metro