Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan Asia 2026 tawar 8 emas sepak takraw

KUALA LUMPUR: Arena sepak takraw menerima khabar gembira apabila jawatankuasa Induk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerima cadangan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) untuk mempertandingkan lapan pingat emas di temasya terbesar Asia itu.

“AINAGOC meluluskan lapan acara iaitu empat bagi kategori lelaki (regu berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran/berempat), tiga wanita (regu berpasukan, beregu dan kuadran) dan kuadran campuran.

“Lapan pingat emas yang ditawarkan ini sudah disahkan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aich-Nagoya (AINAGOC) dan hanya memerlukan sokongan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada mesyuaratnya dalam tiga bulan akan datang,” kata Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan, hari ini.

Lapan acara dan pingat emas yang menjadi rebutan di venue pertandingan nanti – Stadium Taman Sukan Mizuho, Nagoya – tetap menjadi satu rekod baharu dan terbesar dalam sejarah temasya empat tahun sekali ini sejak mula dipertandingkan dengan hanya dua acara, regu berpasukan dan antara regu lelaki di Beijing 1990.

Kuadran campuran satu-satunya acara baharu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober 2026 sekali gus mengatasi tiga atau enam acara keseluruhan (kategori lelaki dan wanita) – regu berpasukan, antara regu dan kuadran dalam Sukan Asia Hangzhou 2023.

Jepun sebagai tuan rumah kata Halim, dibenarkan menyertai semua acara manakala negara-negara lain cuma boleh memilih dua daripada setiap kategori namun kuadran campuran dikecualikan dan terbuka kepada semua.

Langkah ini katanya, selaras sekatan monopoli yang dikuatkuasakan ASTAF sejak Guangzhou 2010 malah sudah dimulakan di Sukan SEA Laos 2009.

Kuadran campuran diperkenalkan sebagai cabang baharu sepak takraw bermula d Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2022 di Bangkok malah akan mula menyertai Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia OCA di Bangkok dan Chonburi pada 1 hingga 9 November ini.-Berita Harian