Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad B-23 mungkin uji Jepun, Qatar dan India

Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara tidak akan duduk diam dalam tempoh terdekat ini apabila dijangkakan akan mengharungi sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan bermula bulan depan.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, skuad kendalian Juan Torres Garrido hampir pasti akan bertemu India pada peringkat awal untuk perlawanan persahabatan manakala dua pasukan lain akan diumumkan kelak.

Beliau berkata, tiga perlawanan persahabatan yang dijangka akan berlangsung di Lembah Klang itu adalah persiapan awal sebelum skuad muda negara berlepas ke Qatar bagi mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 bermula 15 April hingga 3 Mei depan.

Katanya, ‘ujian’ skuad muda negara tidak terhenti di situ apabila mereka bakal mengasah taring bertemu pula tuan rumah Piala Asia B-23 iaitu Qatar dan kemungkinan besar menentang Jepun sebagai usaha memantapkan lagi pasukan.

“Saya akan umumkan pada Mac akan bermain (perlawanan persahabatan) di sini. Beraksi bertemu India dan ada dua aksi lagi.

“Selepas itu akan ke Qatar… kita akan main lagi dua atau tiga perlawanan mungkin lawan Jepun… Qatar kemungkinan pasti akan bertemu, Jepun pula nanti akan bincang,” katanya, ketika ditemui pada sesi Lawatan Ketua Kontinjen dan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 ke Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.

Mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dan akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini meletakkan harapan untuk melihat skuad B-23 negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 sekali gus berpeluang mara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Tiga pasukan terbaik di Doha akan layak secara merit ke Paris sementara tempat keempat akan berentap dengan pasukan keempat dari Afrika, Guinea untuk merebut satu lagi tiket ke saingan terbabit.-Harian Metro