Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ketiadaan Zii Jia ibarat pasukan bola sepak tanpa Ronaldo, Messi

SHAH ALAM: Ketiadaan pemain perseorangan, Lee Zii Jia ketika final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) menentang China, malam tadi diakui memberi kesan kepada skuad lelaki negara.

Pemain ranking ke-10 dunia itu tidak dapat diturunkan selepas mengalami masalah resdung dan kesukaran untuk bernafas.

Kesannya skuad negara terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara apabila tewas 0-3 di tangan China dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata ketiadaan Zii Jia boleh diibaratkan seperti Portugal tanpa bintang sensasi mereka, Cristiano Ronaldo dan Argentina tanpa Lionel Messi.

“Kalau kita ada pasukan terkuat, peluang kita untuk menjadi juara ada. Sudah tentu China juga tidak jangka barisan pemain yang kita turunkan kerana menjangkan perseorangan pertama mereka akan bertemu Zii Jia.

“Saya percaya tahap keyakinan China semakin meningkat selepas melihat barisan pemain yang kita turunkan.

“Bagi kita, ketiadaan Zii Jia ibarat seperti pasukan bola sepak tanpa Ronaldo dan Messi. Bila mereka tiada sudah pasti beri kesan kepada pasukan, siapa mahu menjaringkan gol apa semua.

“Namun, pada akhirnya kami perlu menghadapi situasi ini dan mempersiapkan pemain yang ada dari segi mental,” kata Rexy.

Ketiadaan Zii Jia menyaksikan tugas selaku perseorangan pertama digalas bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao sementara Eogene Ewe kedua dan pemain beregu, Muhammad Haikal Nazri terpaksa diletakkan sebagai perseorangan ketiga.

Malaysia turut terpaksa melupakan khidmat Ng Tze Yong selepas kecederaan kembali menghantuinya sehingga memaksa dia menarik diri di set pertama pada aksi suku akhir menentang Singapura.-Berita Harian