Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Negeri Sembilan sedia RM8 juta hadapi Sukma 2024 di Sarawak

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM7 ke RM8 juta untuk menyediakan kontinjen bagi bersaing di temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, peruntukan itu merangkumi semua keperluan termasuk pembentukan pasukan setiap acara sukan, latihan dan insentif kepada pencapaian atlet selepas kejohanan.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen Negeri Sembilan, berkata persiapan ke arah menghadapi temasya sukan terbesar itu sudah bermula sejak tahun lalu dan turut mendapat kerjasama baik daripada semua persatuan sukan negeri.

“Walaupun peruntukan RM7 hingga RM8 juta itu bukan yang terbesar berbanding sesetengah negeri lain, tapi setakat ini itulah usaha kita untuk melangkah lebih jauh.

“Malah, kita juga sudah kenal pasti beberapa acara sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas antaranya acara menembak, wushu, badminton, olahraga dan beberapa acara lain,” katanya.

Menurut Mustapha, pihaknya akan menggunakan tempoh masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk mempersiapkan atlet dan memastikan mereka yang dipilih mencapai tahap terbaik sebelum turun ke gelanggang.-Harian Metro