SHAH ALAM: Leong Jun Hao hanya mengetahui dia perlu menggalas tugas selaku perseorangan pertama skuad negara pada aksi final menentang China hari ini, empat jam sebelum perlawanan.
Bagaimanapun, bekas juara remaja Asia itu berkata dia tetap bersedia bagi memikul tanggungjawab besar itu memandangkan sudah tidak mempunyai pilihan.
“Memang agak sukar kerana turun sebagai perseorangan pertama. Saya memang sudah tahu perlu bermain cuma tidak tahu kedudukan untuk perlawanan hari ini.
“Saya hanya diberitahu hari ini pada jam 12 tengah hari. Saya hanya buat persiapan dan cuba untuk melakukan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Jun Hao terpaksa akur apabila tewas di tangan perseorangan pertama China, Weng Hong Yang 19-21, 17-21.
Di sebalik kekalahan itu, Jun Hao yang berada di ranking ke-38 berbanding lawannya ke-18, tetap memberi tentangan sengit sebelum terpaksa akur dengan kekalahan dalam tempoh 51 minit.
“Saya rasa agak sayang kerana melakukan kesilapan mudah ketika mata penting yang menyebabkan saya tewas dalam perlawanan ini,” katanya.
Juara Masters KL itu terpaksa menggalas tugas selaku perseorangan pertama selepas Lee Zii Jia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan, hari ini susulan mengalami masalah resdung.
Ketiadaan Zii Jia menyaksikan skuad negara mempertaruhkan Jun Hao, Eogene Ewe selaku perseorangan kedua manakala pemain beregu, Muhammad Haikal Nazri ketiga.
Sementara itu, Team LZJ (Zii Jia) dalam satu kenyataan memberitahu masalah resdung kembali menghantui bekas juara Seluruh England itu sekali gus menyukarkan dia untuk bernafas selepas aksi separuh akhir menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto.
“Zii Jia dan pasukan cuba untuk mengembalikan semula tahap kecergasannya tetapi tidak berjaya.
“Walaupun kecewa tidak dapat bersaing bagi menyumbang mata kepada negara dalam perlawanan penentuan gelaran juara, Zii Jia percaya rakan sepasukan dapat memberikan kemenangan kepada Malaysia,” katanya.-Berita Harian