Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 17, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Demi Pearly-Thinaah, Rexy sanggup lakukan apa sahaja

SHAH ALAM: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky akan melakukan apa sahaja bagi memulihkan semula prestasi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Rexy, berkata dia akan memastikan kedua-dua pemain itu berada pada tahap prestasi terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Pearly-Thinaah mengalami kemerosotan prestasi apabila gagal melangkah ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan sejak muncul naib juara Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

ADVERTISING

Lebih membimbangkan, Pearly-Thinaah tewas di tangan pasangan ranking ke-30 dunia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21 ketika aksi suku akhir antara Malaysia menentang Indonesia di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), semalam.

“Jika mahu cakap bimbang, sudah tentu saya bimbang dengan prestasi mereka tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu mengatasi perkara ini.

“Saya tidak kata yang mereka ada masa depan cerah kerana saya bukan Tuhan tetapi saya akan lakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya ada bagi melonjakkan semula prestasi mereka. Ini sememangnya adalah tanggungjawab saya.

“Namun, mereka juga perlu menunjukkan keinginan tinggi bagi meningkatkan prestasi dan berjuang untuk memenangi pingat di Olimpik. Ia tidak boleh hanya datang daripada jurulatih,” kata Rexy.

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menggunakan khidmat pakar psikologi berpengalaman, Frederick Tan bagi menguatkan mental pemain negara yang berada dalam program Road to Gold (RTG) dalam persiapan ke Olimpik Paris.

Frederick yang pernah menjadi pakar psikologi kepada bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei akan memulakan tugas secara sepenuh masa bersama BAM bermula 23 Februari ini.

“Kami sememangnya sudah mempunyai sokongan dan bantuan psikologi yang disediakan ISN (Institut Sukan Negara) dan kami memang bekerjasama dengan mereka. Namun, kami sentiasa cuba untuk mencari jalan tentang bagaimana kami boleh memberikan yang lebih baik kepada pemain negara.

“Frederick akan memulakan tugasnya pada 23 Februari dan akan duduk dengan semua pemain yang berada dalam RTG. Kami memerlukan Frederick untuk menilai pemikiran pemain bagi mempersiapkan mereka menghadapi Olimpk Paris dan memenangi pingat emas,” kata Rexy.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Johnathan raih perak Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara Johnathan Wong, menamatkan siri latihannya di Denmark dengan memenangi pingat perak acara 10 meter (m) pistol angin lelaki pada Kejohanan Terbuka Denmark 2024, semalam.

Penembak berusia 31 tahun itu mengutip 234.7 mata, untuk menamatkan saingan di belakang juara dari India Arjun Singh, yang mencatatkan 239 mata pada pertandingan berlangsung di Vildbjerg Sports-og Kulturcenter.

Penembak tuan rumah Hansen Jonas Kofoed, menang gangsa (213.1 mata).

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata mereka gembira atas kejayaan Johnathan itu, selepas beliau menduduki tempat kedua pada pusingan kelayakan dengan 576 mata.

“Johnathan telah berada di Denmark sejak 14 Januari, bagi menjalani latihan yang merupakan sebahagian daripada persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini merupakan keputusan yang baik buat Johnathan, kita mahu membantu beliau layak ke final dengan lebih banyak, rasai pengalaman dan seterusnya mampu kurangkan perasaan kekok sekiranya layak ke pentas final dalam kejohanan besar selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hayati berkata Johnathan yang dijangka tiba dari Denmark Selasa ini (20 Februari) akan meneruskan latihan di sini sebelum bertanding pada dua siri Piala Dunia di Baku, Azerbaijan (1-12 Mei) dan diikuti Munich, Jerman (31 Mei- 7 Jun). – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia buat kejutan, sah beraksi menentang Jepun

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara kembali menarik nafas lega apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia kembali beraksi menjelang aksi separuh akhir menentang Jepun di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), jam 4 petang ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan, pemain ranking ke-10 dunia itu akan menggalas tugas selaku perseorangan pertama menentang Kenta Nishimoto.

Semalam, Zii Jia tidak dapat diturunkan ketika aksi suku akhir menentang Singapura susulan masalah resdung yang dialaminya.

Ketiadaan bekas juara Seluruh England itu menyaksikan Ng Tze Yong diturunkan tetapi terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh selepas kecederaan belakang dialaminya sebelum ini kembali menghantuinya.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang bakal diturunkan pada pertemuan dengan Jepun dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

Bagaimanapun, kehadiran semula Zii Jia pastinya memberi nafas semula kepada skuad negara yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

Aksi hari ini menyaksikan tugas selaku perseorangan kedua akan digalas Leong Jun Hao yang akan berdepan Koki Watanabe manakala Eogene Ewe turun sebagai perseorangan ketiga menentang Kento Momota.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai beregu pertama menentang Akira Koga-Taichi Saito sementara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze yang turun selaku beregu kedua bertemu Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
DENMARK SHOOTING OPEN 2024

15 – 18 Feb 2024
RESULT (DAY 1)
Event : 10M Air Pistol Men
Stage : Qualification
Athlete : Johnathan Wong Guanjie
Result : 576 points
Rank : 2 / 23
Qualify to final


Event : 10M Air Pistol Men
Stage : Final
Athlete : Johnathan Wong Guanjie
Result : 234.7 points
Final Rank : 2nd / 8
🥇- Cheema Arjun Singh (IND)
🥈- Johnathan Wong (MAS)
🥉- Hansen Jonas Kofoed (DEN)

Majlis Sukan Negara Malaysia