PEMINAT bola sepak tanah air tidak perlu risau dengan peningkatan usia tonggak utama Harimau Malaya kerana ramai ‘ubi muda’ bersedia dipanggil pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.
Sebagai rekod, skuad kendalian Kim Pan-gon yang mewakili Malaysia di pentas Piala Asia antara yang tertua dalam kejohanan itu apabila ramai pemain sudah mencecah angka 30-an.
Antara pemain terbabit adalah Afiq Fazail dan Mohamadou Sumareh yang berusia 30 tahun, Ahmad Khuzaimi Piee (31), Shahrul Saad (31), Daniel Ting (32), Junior Eldstal (33), La’Vere Corbin-Ong (33) dan Darren Lok (34).
Bintang naturalisasi, Paulo Josue pula sudah berusia 35 tahun, Brendan Gan (36) dan Natxo Insa (38).
Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell percaya usia sekadar ‘angka’, tetapi menegaskan FAM tetap mengambil serius dan berharap pemain-pemain muda bersedia jika dipanggil pada kempen kelayakan akan datang.
“Sudah tentu kita sekali lagi mahu menikmati pengalaman beraksi di Piala Asia. Kita juga mahu ke Piala Dunia, tetapi untuk berbuat demikian, kita harus sentiasa melayakkan diri ke pertandingan peringkat Asia.
“Saya rasa kelompok pemain seterusnya (skuad bawah 23 tahun) terdiri dalam kalangan pemain yang bagus, tetapi mereka kena yakinkan Pan-gon bahawa mereka layak bermain bersama pasukan senior.
“Pemain ini perlu menunjukkan prestasi yang bagus dalam Liga Super, beraksi sekerap mungkin supaya dapat dipanggil dan harap kita dapat layak lagi ke Piala Asia 2027,” katanya.
Harimau Malaya dijadualkan menjalani kem latihan pusat dalam masa terdekat sebagai persiapan mengharungi dua perlawanan kelayakan menentang Oman bulan depan.-Kosmo