Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Setiap SUKMA wajar pertandingkan sukan terjun wanita, medan cungkil bakat baharu

KUCHING, 14 Feb: Usaha untuk melahirkan lebih ramai pelapis atlet wanita sukan terjun negara dikekang oleh syarat-syarat penganjuran sukan di peringkat nasional.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara seperti Sukan Malaysia (SUKMA) yang membatalkan suatu kategori atas alasan kurang penyertaan daripada negeri bertanding menyukarkan proses mencungkil bakat baharu.

“Saya rasa perlu ada reformasi terutamanya sukan negara.

“Dalam SUKMA 2021 contohnya tidak ada acara sukan terjun wanita. Apa yang berlaku? Kita sendiri yang mengekang hanya kerana tidak cukup jumlah penyertaan daripada negeri-negeri, acara itu dibuang dari senarai,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan perlu memiliki kuasa veto bagi menentukan penganjuran suatu acara meskipun hanya beberapa negeri yang dapat menghantar atlet.

Beliau berkata setakat ini, Sarawak terus menjadi negeri melahirkan atlet terjun negara dengan tujuh daripada 15 atlet pelapis berada di Kuala Lumpur menyertai kem latihan.

“Kalau negeri itu meletakkan syarat tertentu seperti Kelantan dan Terengganu, kita tidak mengharapkan mereka untuk mengambil bahagian. Namun begitu mereka tidak boleh mengharapkan Sarawak sahaja. Kita perlu sumbangan negeri lain juga,” katanya. – TVS