ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din telah melakukan kunjungan hormat ke Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, bertujuan membincangkan perancangan pembangunan sukan khususnya di Kedah.
Menurutnya, beberapa keperluan untuk memajukan sukan di negeri tersebut tersebut telah dibincangkan dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.
“Antaranya untuk pelaksanaan pembangunan sukan di peringkat negeri Kedah menjelang 2024 ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada MSN khususnya Ketua Pengarahnya yang sudi menerima kunjung hormat beliau dan rombongan ke situ.
Turut hadir ialah lagenda bola sepak negara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dan Pengarah MSN Kedah, Zulzurraidy Othman.
Dalam perkembangan lain, mengambil kesempatan sepanjang berada di Kuala Lumpur, Radhi turut mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan.
Antara fokus perbincangan beliau dalam pertemuan dengan Menteri, Hannah Yeoh, adalah berkenaan pembangunan golongan belia di negeri ini. – HARAKAHDAILY