Kuala Lumpur: Barisan pemain bakal diturunkan untuk skuad wanita negara menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok masih menjadi tanda tanya termasuk sama ada ingin memecahkan gandingan beregu dalam aksi sulung Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).
Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, berada dalam kumpulan Y bersama UAE dan Thailand, menyaksikan mereka harus membuat percaturan tepat dan tentunya barisan terkuat akan diturunkan bagi meraih mata pertama dengan kemenangan 5-0 esok.
“Menentang UAE, kita nak dapatkan mata dan tentu menurunkan barisan terkuat tetapi saya akan lihat dahulu sama ada Pearly Tan dan M Thinaah memerlukan perlawanan untuk mengadaptasi gelanggang atau tidak,” katanya.
Ujar Rexy, mereka perlu berhati-hati juga menentang UAE kerana negara itu tidak menggunakan pemain tempatan sebaliknya diperkuatkan dengan tonggak naturalisasi dari Indonesia dan India.
“Kemenangan 5-0 ke atas UAE amat penting bagi meningkatkan semangat pemain baik perseorangan mahupun beregu. Ditanya mengenai kekuatan Thailand, beliau mengakui negara berkenaan masih lagi berstatus pasukan pilihan walaupun tanpa tonggak utama.
“Thailand hadir tanpa Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong, yang berada di ranking kelapan dan 16 dunia, namun mereka masih kuat di bahagian perseorangan dengan adanya Supanida Katethong (17) dan Busanan Ongbamrungphan (18).
“Jadi, kita harap Goh Jin Wei dapat mencuri satu mata dari perseorangan, dan cuba meraih dua mata dari beregu,” kata Rexy.
Skuad wanita yang berjaya ke separuh akhir pada edisi 2022, akan membuka saingan kumpulan Y menentang UAE pagi esok dan berdepan Thailand pada Khamis.-Harian Metro