KUALA LUMPUR: Isu kegagalan ke Sukan Olimpik Paris 2024 susulan Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu terus berpanjangan apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mendedahkan ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem negara.
Pandelela gagal menempah tiket ke Paris 2024 dalam acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Nur Dhabitah Sabri di Doha, namun enggan mendedahkan isu berkenaan secara lebih terperinci.
Justeru itu, Pandelela, 30, akan memanjangkan masalah berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mencari jalan penyelesaian terbaik memandangkan ia turut mengganggu penerjun senior dan remaja.
“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu sudah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku,” kata Pandelela.
“Ada yang berlaku berada di luar kawalan kami, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya.
“Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak dijelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.
“Boleh dikatakan hampir semua (penerjun) terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior.
“Jadi lebih baik bincang perkara ini secara dalaman.”
Kegagalan di Doha menyaksikan Pandelela tidak berupaya melangkah ke Olimpik kelimanya sejak mula membuat penampilan sulung pada Beijing 2008.
Untuk rekod, Pandelela pernah mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik apabila membawa pulang gangsa dalam acara 10m platform individu di London 2012.-Berita Harian