Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 9, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Paralimpik 2024, lebih 20 atlet para dijangka layak ke Paris

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kira-kira 20 hingga 25 atlet daripada tujuh sukan dijangka akan menggalas cabaran ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos ini.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam berkata setakat ini tujuh atlet daripada sukan olahraga, memanah dan berbasikal telah mengesahkan slot ke Paris.

“Jumlah sebenar akan diketahui dalam beberapa bulan akan datang susulan kejohanan kelayakan yang bakal disertai atlet dari beberapa sukan seperti badminton, boccia, powerlifting dan renang,” katanya.

Tambah Subramaniam, selain slot secara merit, MPM juga menjangkakan menerima slot ‘bi-partite’ dan tiket wild card untuk temasya itu menjelang Mei ini.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman adalah di Tokyo 2020 dengan meraih tiga pingat emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.-RTM

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT EXCO BELIA DAN SUKAN KEDAH

Majlis Sukan Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah pada 9 Februari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Pertemuan bersama YBrs. Encik Abdul Rashid, Ketua Pengarah MSN dan YB Muhammad Radhi Mat Din, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah itu bertujuan untuk membincangkan perancangan pelaksanaan pembangunan sukan di peringkat negeri Kedah bagi tahun 2024.

Turut hadir sama, YB Badrol Bakhtiar, ADUN Gurun dan YBrs. Encik Zulzuraidy Othman, Pengarah MSN Kedah.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RTG bakal tentu kedudukan Pandelela, Dhabitah

KUALA LUMPUR – Kedudukan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam program Road To Gold (TRG) akan ditentukan menjelang mesyuarat jawatankuasa RTG yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Bekas juara dunia itu berdepan risiko digugurkan daripada program elit tersebut apabila gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tidak melepasi had kelayakan menerusi acara 10 meter (m) platform individu dan seirama wanita.

Nur Dhabitah Sabri yang bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m seirama wanita turut berdepan risiko dikeluarkan daripada program RTG selepas mereka menamatkan aksi saringan di tempat ke-12 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama RTG enggan mengambil tindakan terburu-buru, sebaliknya akan membincangkan perkara itu bersama koordinator program, Datuk Stuart Ramalingam.

“Saya tidak akan menjawab mengenai perkara itu hari ini (semalam). Saya hanya fokus kepada perbincangan meja bulat berhubung pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang diadakan hari ini (semalam).

“Nanti RTG akan panggil untuk sidang media spesifik. Kami akan buat mesyuarat dalam masa terdekat. Saya perlu beritahu Stuart dahulu untuk atur mesyuarat sebelum panggil semua orang,” katanya selepas sesi perbincangan meja bulat di Menara KBS semalam.

Setakat ini, Bertrand Rhodict Lises menjadi satu-satunya penerjun negara yang melayakkan diri ke Olimpik Paris bersama Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal).

Sebelum ini, RTG pernah mengambil tindakan menggugurkan skuad hoki lelaki kebangsaan daripada program kerana gagal meraih pingat emas Sukan Asia Hanghou selain menyingkirkan dua beregu campuran profesional, Tang Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai gara-gara prestasi tidak menentu. – KOSMO! ONLINE

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pahang sasar pingat emas futsal Sukma

Kuantan: Pasukan futsal Pahang mahu membawa pulang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Impian menggunung itu bagi menebus kekecewaan selepas hanya menduduki tempat ketiga pada Sukma Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ketua jurulatihnya, Norkhairi Abd Rahman berkata, selepas mengikuti latihan pusat lebih dua bulan lalu, persefahaman dan keserasian semakin mantap dapat dilihat dalam kalangan pemain.

Menurutnya, selepas mengadakan beberapa siri pemilihan, 19 pemain terbaik dikumpul untuk mewakili Tok Gajah bagi Sukma kali ini.

“Bagi membentuk pasukan mantap, kami bekerjasama dengan Pahang Rangers FC bermula di peringkat pemilihan pemain hingga membentuk pasukan.

“Saya amat berpuas hati melihat perkembangan positif pasukan dan kesabaran menjadi kunci bagi menghasilkan pasukan bermula dari kosong apabila ramai pemain tidak pernah mendapat pendedahan di peringkat tinggi,” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia