Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SASARAN PINGAT BAGI SUKMA 2024 DITENTUKAN HUJUNG BULAN INI

KUANTAN, 08 FEBRUARI 2024 : Sasaran pingat bagi sukan-sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan ditentukan hujung bulan ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ini kerana Kerajaan Negeri Pahang akan menilai semula sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Sasaran pingat ini hanya akan diputuskan selepas saya berjumpa dengan kesemua atlet dan pegawai pada penghujung bulan ini.

“Pada masa itu saya akan tetapkan sasaran sebenar pingat untuk Pahang pada SUKMA Sarawak tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan beramah mesra bersama atlet gimnastik dan gimrama di SUKPA.

Menurut beliau, fasiliti bagi latihan para atlet juga perlu diberi perhatian dan penambahbaikan bagi memastikan mereka dapat berlatih dalam keadaan yang selesa.

“Dari segi fasiliti memang kena ada penambahbaikan sebab bila giatnya latihan, mungkin ada peralatan tertentu yang perlu kita tambah baik fasiliti dan peralatan ini.

“Kita sentiasa pantau dan nilai tahap kesiapsiagaan fasiliti, kemudahan dan peralatan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri Pahang bersungguh-sungguh dalam memastikan prestasi para altet SUKMA dipertingkatkan.

“Saya tahu sukar apabila kita letak sasaran Top5 bagi Pahang untuk SUKMA ini sebab pada SUKMA yang lalu kita menduduki tangga ke sembilan.

“Namun tiada yang mustahil andai ada kesungguhan. Sebab itu saya turun padang untuk beri semangat kepada atlet dan juga jurulatih untuk persiapan mereka untuk ke SUKMA,” katanya. -PAHANGMEDIA