Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Buku lali Haikal makin pulih

KUALA LUMPUR: Kecederaan buku lali pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri semakin menunjukkan tanda pemulihan positif menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam bermula 13 Februari ini.

Haikal berkata, menjelang kejohanan itu, dia tetap menjalani latihan seperti biasa selain terus melalui fasa pemulihan sekali gus mengharapkan persembahan yang baik dapat dilaksanakan bersama Choong Hon Jian di BATC.

“Buku lali saya semakin baik dan sekarang saya menjalani latihan… dalam masa sama melalui fasa pemulihan. Saya melakukan fisioterapi dan dalam masa sama, saya juga berhubung dengan doktor di ISN (Institut Sukan Negara),” kata Haikal ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Haikal-Hon Jian berada dalam senarai pemain berpasukan lelaki yang bakal menggalas cabaran mempertahankan gelaran juara di BATC 2024 bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Turut berada dalam senarai berkenaan adalah pemain perseorangan yang diketuai, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

“Berita mengenai saya dan Hon Jian terpilih menyertai BATC adalah ketika kami berada di Indonesia. Itu pun selepas rakan sepasukan memberi tahu saya terpilih. Tetapi selepas berita itu, saya alami kecederaan dan rasa sakit itu menjejaskan pergerakan saya sehingga terpaksa menarik diri dari Masters Thailand.

“Tapi dalam latihan, saya tidak rasa sakit lagi kecuali ketika saya mendarat terlalu kuat. Ia membuatkan saya ada perasaan curiga dan takut-takut dalam gelanggang, ketika latihan,” kata Haikal.

Skuad lelaki Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei di BATC kali ini manakala pasukan wanita negara berada dalam Kumpulan Y bersama Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.

“Dalam kumpulan kita, pasukan lawan tidak kuat kecuali Taiwan. Jadi saya harap dapat beraksi sekali gus membiasakan diri dengan suasana pertandingan, saya tak mahu jadi simpanan sahaja,” kata Haikal.-Berita Harian