PETALING JAYA – Bekas kapten skuad England, David Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bola Sepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.
Beckham yang pernah mewakili kelab Manchester United itu turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pelatih bola sepak wanita yang sedang melakukan sesi latihan ringan bersama pemain kebangsaan, Steffi Sarge Kaur.
Program yang dijalinkan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bertujuan untuk memastikan kualiti dan imej bola sepak wanita di negara ini terus meningkat di pentas antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, program terbabit sememangnya baik dalam usaha meningkatkan lagi semangat pemain bola sepak wanita negara.
“Bola sepak wanita menghadapi pelbagai cabaran daripada memerangi stigma masyarakat, diskriminasi, kekurangan akses dan mengharungi laluan yang sukar di negara kita.
“Saya jangkakan program ini dapat mencungkil bakat bola sepak wanita khususnya menjadi platform buat pemain muda mengembangkan bakat masing-masing,” katanya ketika majlis pelancaran AMGFP hari ini.
Difahamkan, Beckham yang telah tiba di Kuala Lumpur sejak malam tadi bakal menghadiri satu lagi majlis pelancaran di TRX The Exchange pada petang ini. – KOSMO! ONLINE