PETALING JAYA: Tewas dalam dua perlawanan telah menutup rapat peluang Harimau Malaya mara ke pusingan 16 terbaik, namun dari sudut positif skuad kebangsaan meraih pengalaman cukup bernilai di pentas Piala Asia 2023.
Perkara itu diakui pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin berkata dua perlawanan dihadapi menentang Jordan dan Bahrain memberi banyak pengajaran dan pembelajaran buat pasukan Malaysia.
Justeru, Wilkin turut menggesa rakan sepasukannya menjadikan aksi terakhir peringkat Kumpulan E juga sebagai perlawanan penting.
Jelasnya, peluang menentang pasukan berada di kedudukan 23 dunia, Korea Selatan tidak mudah diperolehi, maka ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting sebelum pulang ke Malaysia menentang Korea Selatan.
“Anda tahu ia akan menjadi ujian besar menentang pasukan berkualiti tinggi seperti Korea Selatan. Saya fikir dari perlawanan pertama hingga perlawanan kedua kami banyak belajar dan menunjukkan prestasi yang boleh dipelajari dan menambah baik beberapa perkara.
“Saya berharap kita boleh menggunakan kedua-dua perlawanan ini dan meletakkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan terakhir dan mencubanya dengan baik,” katanya seperti dilaporkan Flash Sukan, semalam.
Sewaktu berdepan Bahrain pasukan di ranking 86 dunia Sabtu lalu, Wilkin mendapat kepercayaan Kim Pan Gon untuk beraksi penuh dalam perlawanan itu dan dia berjaya mengekang kemaraan pemain lawan sehinggalah bolos pada penghujung masa kecederaan.
“Perlawanan malam itu (Sabtu) mengecewakan dan dah tentu hati kami remuk kerana pada penghujungnya dibolosi. Tetapi saya rasa kami belajar sesuatu daripada perlawanan terakhir.
“Kami mempamerkan persembahan yang lebih mantap dalam bertahan. Saya rasa anda dapat melihat pemain memberikan segala-galanya dan menentang pasukan peringkat tinggi ini, kami perlu kekal fokus sepenuhnya selama 90 minit tambahan dan malang sekali, kita kalah dengan cara itu,” jelasnya.
Malaysia yang tewas kepada Jordan 4-0 dan Bahrain 1-0 akan menutup kempen Piala Asia bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis.-UTUSAN