Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonah pernah mahu berhenti jadi atlet kerana elaun

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mendedahkan yang dirinya hampir berputus asa untuk meneruskan perjalanan karier sebagai atlet, hanya kerana disebabkan menerima bayaran elaun dan bukannya gaji.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 17.67 meter (m) berusia 21 tahun itu berkata, pada tahun lalu dia pernah menyuarakan keinginan berkenaan kepada ahli keluarganya untuk mencari pekerjaan lain yang menawarkan gaji berbanding hanya bersandarkan kepada elaun bulanan sebagai seorang atlet.

Namun, dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini yang menukar bayaran elaun bulanan atlet di bawah Program Podium kepada gaji, ia nyata melegakan Jonah apatah lagi isu berkenaan sudah menjadi ‘bualan’ dalam kalangan atlet sejak sekian lama.

“Terima kasih kepada YB Hannah kerana dia menukar elaun kepada gaji dan itu kami sangat berterima kasih. Kami sudah menantikan sangat lama, daripada senior saya dulu pun ada bercakap ‘kenapa tidak gaji?’. Sekarang Hannah buat tugas yang hebat dan kami rasa bersemangat untuk berlatih lagi.

“Tahun lalu, kami kecewa kerana dapat elaun. Kami berlatih, berusaha gigih, kami cedera pun ramai tak kisah dan hanya pergi ISN (Institut Sukan Negara). Kami banyak berjasa tetapi kenapa elaun kami masih kecil dan kenapa tidak bergaji seperti yang lain (pekerjaan lain).

“Untuk saya, tahun lalu saya hampir putus asa untuk menjadi atlet. Saya cakap dengan keluarga saya, ‘kalau boleh saya berputus asa, saya mahu cari kerja. Sebagai orang Sarawak, kami perlu banyak bekerja.

“Dari kecil sampai besar memang fikiran hanya untuk kerja. Dari kecil sampai besar juga, saya ingat pergi MSN (Majlis Sukan Negara) dapat gaji tetapi dapat elaun kecil. Namun tahun ini, kami dapat dapat gaji seperti pekerjaan sepenuh masa.

“Jadi atlet ini bukan sekadar separuh masa sahaja, tetapi sepenuh masa dan kami juga banyak berjasa untuk negara,” kata Jonah yang pada tahun ini meletakkan misi untuk melakukan catatan 18m.

“Mungkin akan sasar untuk pecah rekod lagi dan tahun ini, banyak pertandingan akan disertai. Pada Februari nanti, mungkin saya akan ke New Zealand dan Australia untuk dapatkan semula prestasi saya. Tahun ini, saya sasar 18m, tak jauh lagi… hanya 40 sentimeter (cm) lagi dan saya akan cuba buat terbaik untuk buat 18m tahun ini,” katanya.

Minggu lalu, Hannah mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium kini ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Katanya, seramai 393 atlet termasuk atlet para berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman KWSP dan PERKESO yang bakal memberi impak kewangan sebanyak RM16 juta setahun kepada MSN.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang Malaysia ke Sukan Olimpik Paris tertutup, tumpas 0-3 di tangan Kanada

VALENCIA: Skuad hoki wanita negara mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam peringkat Kumpulan B Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila tumpas 0-3 kepada Kanada dalam aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Anak buah Nasihin Nubli Ibrahim bolos seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sara McManus.

Malaysia Tigress terus derita apabila Thora Rae menggandakan jaringan menerusi gol padang pada minit ke 22.

Barisan pemain negara terus longlai dan McManus memanfaatkan situasi itu untuk meledak gol ketiga Kanada pada minit ke 45, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan ini juga menyaksikan impian skuad negara untuk mara lebih jauh lebur dan akan membuat perhitungan dengan Great Britain untuk melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Persembahan hari ini adalah jauh lebih baik daripada semalam. Walaupun Kanada berada di tangga ke 16 dunia dan juga pasukan yang lebih berpengalaman, namun begitu kami masih dapat beraksi dengan baik terutamanya di suku keempat.

“Saya rasa kita masih lagi kekurangan dari segi kekuatan dan tahap fizikal perlawanan di peringkat antarabangsa,” jelas Nasihin.-Utusan

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysian Tigress mula langkah kiri di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol, hari ini.
Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia itu, skuad Malaysian Tigress berjaya bertahan dengan baik pada suku pertama perlawanan sebelum pasukan lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez.
Memasuki suku ketiga, permainan kurang meyakinkan anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membiarkan Sepanyol menyumbat dua gol lagi, masing-masing menerusi Belen Iglesias pada minit ke-37 dan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.
Pasukan di ranking kelapan dunia itu terus mendominasi perlawanan apabila Iglesias menyumbat gol keempat (minit ke-52), diikuti jaringan kelima dan keenam oleh Alvarez (minit ke-56 dan 57), sebelum Beatriz Perez melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-60.
Skuad hoki wanita negara dijadual bertemu Kanada pada perlawanan kedua peringkat kumpulan esok.
Sementara itu, Mohd Nasihin berkata perlawanan hari ini bukan satu yang mudah buat pasukan wanita negara apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama skuad negara dengan Sepanyol yang menduduki ranking jauh lebih tinggi.
“Pertemuan dengan Sepanyol bukan sesuatu yang mudah, dan pemain juga memberikan persembahan terbaik pada suku pertama perlawanan.
“Kita akan cuba curi mata apabila bertemu Kanada yang mempunyai ranking lebih kurang sama dengan kita esok,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysian Tigress mula langkah kiri di Sepanyol

SKUAD hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol pada Sabu.

Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia itu, skuad Malaysian Tigress berjaya bertahan dengan baik pada suku pertama perlawanan sebelum pasukan lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez.

Memasuki suku ketiga, permainan kurang meyakinkan anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membiarkan Sepanyol menyumbat dua gol lagi, masing-masing menerusi Belen Iglesias pada minit ke-37 dan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Pasukan di ranking kelapan dunia itu terus mendominasi perlawanan apabila Iglesias menyumbat gol keempat (minit ke-52), diikuti jaringan kelima dan keenam oleh Alvarez (minit ke-56 dan 57), sebelum Beatriz Perez melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-60.

Skuad hoki wanita negara dijadual bertemu Kanada dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, perlawanan itu bukan satu yang mudah buat pasukan wanita negara apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama skuad negara dengan Sepanyol yang menduduki ranking jauh lebih tinggi.

“Pertemuan dengan Sepanyol bukan sesuatu yang mudah, dan pemain juga memberikan persembahan terbaik pada suku pertama perlawanan.

“Kita akan cuba curi mata apabila bertemu Kanada yang mempunyai ranking lebih kurang sama dengan kita esok,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
400 sertai Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Terbuka Sarawak Ke-2

MIRI: Kira-kira 400 penggiat seni mempertahankan diri termasuk dari Korea Selatan, Brunei Darussalam, Filipina, India dan Nepal selain Malaysia, mengambil bahagian pada Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Terbuka Sarawak Ke-2 yang membuka tirainya pada Sabtu.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari berkenaan merupakan anjuran Kelab Taekwando Aelma diadakan di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin dalam ucapan perasmiannya memuji pihak penganjur dalam usaha mewujudkan platform untuk atlet seni mempertahankan diri menggilap kemahiran masing-masing.

“Di Malaysia, taekwando juga telah diterima secara rasmi sebagai salah satu acara sukan di sini seperti Sukan Malaysia atau dikenali sebagai SUKMA.

“Justeru, kejohanan ini juga merupakan satu pendedahan yang baik kepada atlet taekwando untuk meningkatkan taraf mereka bagi membuat persediaan untuk pemilihan mewakili Sarawak ke SUKMA,” ujarnya.

Lee berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Kaunselor Nicholas Toh yang mewakilinya bagi merasmikan kejohanan terbabit.

Mengulas lanjut, Lee memberitahu kejohanan tersebut penting kerana memberi peluang kepada atlet tempatan untuk bersua dan bersaing dengan atlet dari negara lain.

“Malah, saya yakin atlet kita akan dapat menimba ilmu dan kemahiran baharu apabila melibatkan diri dengan atlet antarabangsa.

Antara persembahan seni mempertahankan diri Taekwando sebagai pembuka tirai kejohanan terbabit yang berlangsung di di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.

Antara persembahan seni mempertahankan diri Taekwando sebagai pembuka tirai kejohanan terbabit yang berlangsung di di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.
“Saya berharap agar semua yang menyertai kejohanan ini melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan selaras dengan usaha latihan yang dilakukan.

“Lakukan terbaik seperti latihan yang telah anda jalani. Kekalkan semangat kesukanan dalam diri dan ingatlah persaingan adalah tempat untuk anda menunjukkan bakat anda melalui latihan di samping mempelajari kemahiran serta teknik baharu daripada pihak lain,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam yang turut berucap pada majlis berkenaan berkata, acara demikian secara langsung merupakan tempat terbaik untuk mencungkil bakat dalam kalangan atlet taekwando orang kelainan upaya (OKU).

“Buat pertama kali, Malaysia menganjurkan acara taekwando untuk OKU. Ini memberi mereka peluang untuk menyerlahkan nama negara dalam sukan tersebut.

“Pada Disember lalu, atlet taekwando yang menghidap cerebral palsy (CP) Dunson Lihan Choi Chong Lee dari Miri yang telah memenangi emas dan perak pada acara ‘Para Taekwondo 2nd One Heart’ di Bangkok.

“Di bawah bimbingan Master Kim Tea Ho dan Pembangunan Kemahiran OKU Sarawak, atlet Sarawak kita berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Justeru, Razi berharap tidak lama lagi akan ada atlet para taekwando mewakili Sarawak dan Malaysia dalam kejohanan besar termasuk kejohanan dunia dan Olimpik.

“Marilah kita bersama menjadikannya sebagai satu harapan kerana tiada mustahil jika kita bekerja sebagai satu pasukan untuk menyumbang kepada kejayaan dengan memainkan peranan masing-masing.

“Sukan juga secara langsung boleh meningkatkan sumber pendapatan seseorang,” tambahnya.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Miri Dzulfikhar Awang, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri Roley Lagir, Presiden Persatuan Taekwando Kukkiwon Malaysia Datuk Dr T Arasu, Presiden Kelab Taekwandi Aelma Master Nagarajan Visuvanathan, Pengerusi World Para Taekwando Federation (WPTF) Malaysia Dato Sri Wilfred Juot Kulungan, Pengerusi WPTF Dr Lee Sanf Heon, serta tetamu kehormat yang lain.-Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bekas jurulatih ragbi rebah ketika joging

HULU SELANGOR: Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, hari ini.

Sebelum kejadian, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan bersenam bersama komuniti taman jam 7 pagi.

Kemudian mangsa berjalan di trek di kawasan kejadian lalu rebah dan tidak sedarkan diri jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata pada jam 9 pagi lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital yang datang memberi bantuan kecemasan.

“Mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah tinggi (20 tahun),” katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Elaun bulanan atlet program podium ditukar kepada gaji – Hannah

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.

“Carumannya sebanyak 11 peratus bagi pihak atlet dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) 13 peratus… atlet kita minta ada jaminan untuk mereka, jadi kita telah sampaikan serta tunaikan hasrat itu dan saya mahu atlet tunaikan hasrat rakyat Malaysia dapatkan pingat emas Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN di sini hari ini.

Hannah berkata, langkah itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada MSN.

Dalam pada itu, beliau berkata, KBS juga telah meminta MSN untuk mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

“Kita sudah ada beberapa bengkel dan MSN akan koordinasi, kita kena bentang kepada jawatankuasa MSN sebelum melaksanakan apa-apa,” katanya. -Sinar harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024

Majlis Sukan Negara telah mengadakan sesi Taklimat Penyelarasan Takwim Program Bakat dan Pelapis Negeri 2024 bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) pada 12 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk menyelaras program pembangunan bersama PSK seterusnya menyediakan perancangan aktiviti program sebagai takwim sukan tahun 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pengumumkan Peningkatan Jumlah Gaji Minimum

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan peningkatan jumlah gaji minimum dari RM800 kepada RM1,500 buat atlet yang baru memasuki Program Podium, penambahan sebanyak RM700.

Peningkatan gaji ini melibatkan semua atlet dibawah Program Podium yang memenangi pingat di temasya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Asia, Kejohanan Komanwel dan di Kejohanan Dunia.

Elaun atlet pelapis kebangsaan turut dinaiikkan dari RM500 kepada RM700 bagi yang memenangi pingat sekurang-kurangnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan. Manakala RM500 diberikan kepada atlet pelapis yang belum memenangi sebarang pingat di SUKMA atau mana-mana Kejohanan Kebangsaan atau Kejohanan Remaja Kebangsaan.

393 atlet termasuk atlet para akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula bulan Januari melibatkan 11% bagi pihak atlet dan 13% dari MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS AMANAT MENTERI BELIA DAN SUKAN TAHUN 2024

Majlis Amanat YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama atlet, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi tahun 2024 telah diadakan pada 11 Januari 2024 bertempat di MSN, Bukit Jalil.

Dalam amanatnya, YB Menteri memperkenalkqn inisiatif baru seperti, Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang memastikan caruman dalam KWSP dan PERKESO untuk simpanan masa hadapan kepada semua atlet-atlet kebangsaan dan meningkatkan jumlah elaun latihan mengikut program atlet.

Seterusnya, mengadakan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan. Selain itu, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) juga akan diperkasa dengan penyaluran bantuan supaya dapat mengendalikan aspek perancangan seperti latihan, penyertaan ke pertandingan antarabangsa, pengawalan peralatan latihan serta bayaran elaun atlet-atlet.

Di akhir ucapan beliau menyatakan fokus utama bagi tahun 2024 adalah misi tambah pingat emas pada Sukan Olimpik Paris nanti. Seterusnya penganjuran temasya dan acara utama seperti Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 dan Le Tour de Langkawi 2024 serta mempersiapkan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

Majlis Sukan Negara Malaysia