Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 31, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Yakin ramai penerjun negara ke Olimpik

KEJOHANAN Akuatik Dunia di Doha, Qatar bermula 2 hingga 18 Februari ini akan menjadi aksi paling penting buat skuad terjun negara memburu slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejohanan itu merupakan medan terakhir untuk atlet-atlet terjun negara merebut peluang mereka melayakkan diri ke ­Olimpik Paris yang membuka tirainya 26 Julai nanti.

Meskipun sukar, namun pe­ngarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas menaruh kepercayaan tinggi lebih ramai penerjun negara akan meraih tiket kelayakan ke Olimpik pada kejohanan itu nanti.

“Ini adalah medan kelayakan (Olimpik Paris) terakhir untuk penerjun-penerjun kita, jadi ia satu pertandingan yang sangat penting buat semua. Sasaran kita untuk layak seramai yang boleh.

“Kita akan cuba yang terbaik untuk melayakkan diri dalam acara terjun seirama. Fokus utama kita untuk layak terlebih dahulu dan saya yakin akan ada atlet yang layak nanti,” katanya.

Setakat ini, Bertrand Rho­dict Lises adalah satu-satunya penerjun negara berada dalam senarai lima atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik ­Paris ­termasuk Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd. Zubir (basikal).

Justeru, nama-nama berpe­ngaruh seperti dua ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri perlu memanfaatkan kejohanan di Doha itu untuk menyambar tiket akhir ke Olimpik Paris.

Dalam pada itu, Bryan turut menjelaskan, Bertrand tidak akan beraksi dalam acara individu di Doha nanti kerana bakal memberikan tumpuan me­layakkan diri untuk acara terjun ­seirama.

“Memandangkan Bertrand sudah layak (Olimpik), jadi dia tidak akan beraksi acara individu, fokus pada acara seirama. Kita tahu saingan cukup sengit untuk seirama lelaki, tetapi kita akan cuba melayakkan diri,” ujarnya.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beasley tak berani ambil risiko benarkan Shah sertai keirin

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kemungkinan besar hanya akan beraksi dalam acara pecut individu pada saingan Piala Negara-Negara di Adelaide yang bermula Jumaat ini.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, berkata dia tidak mahu mengambil risiko untuk membenarkan Shah Firdaus turut menyertai saingan keirin dengan dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika terbabit kemalangan ketika sesi latihan, minggu lalu.

Susulan kemalangan berintensiti tinggi itu, Shah Firdaus mengalami lebam, luka melecet dan buku lali bengkak.

Justeru, dia kemungkinan hanya diturunkan dalam acara pecut individu lelaki bersama Fadhil Zonis.

“Kami perlu melihat sama ada dia cukup sihat untuk memulakan (pecut individu) di sini, walaupun dia sebenarnya okey, tapi dia tidak berada tahap terbaik,” kata Beasley.

“Saya tidak akan mengambil risiko menyenaraikan Shah dalam keirin kerana kulitnya masih belum sembuh sepenuhnya (luka melecet).

“Kita tak dapat menjangka kerana dalam perlumbaan keirin juga mungkin boleh berlaku kemalangan kerana pelumba akan berada dalam keadaan tersedak mengumpul mata kelayakan Olimpik.

“Saya tidak mahu dia mengambil risiko terlepas Kejohanan Asia New Delhi yang begitu hampir (21 hingga 26 Februari),” katanya.

Sementara itu Beasley menjelaskan Azizulhasni yang menghidap perikarditis sejak beberapa minggu lalu hanya akan beraksi dalam keirin di Adelaide bersama Fadhil.

Manakala pelumba wanita, Anis Amira Rosidi, Izzah Izati Asri dan Aliana Syafika Azizan akan bersaing dalam acara pecut berpasukan wanita di Adelaide.

Anis dan Izzah juga akan bersaing dalam acara pecut dan keirin individu wanita.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT PERSEKUTUAN SUKAN ELEKTRONIK MALAYSIA (MESF)

Majlis Sukan Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) pada 31 Januari 2024.

Pertemuan bersama YBrs. Ketua Pengarah MSN, Encik Abdul Rashid Yaakub itu bertujuan untuk menyampaikan hasrat dalam bekerjasama bagi program E-Sports pada tahun ini yang melibatkan penganjuran sukan, penyertaan kejohanan luar negara prestasi tinggi dan juga pemakluman perubahan Jawatankuasa MESF.

Turut hadir sama Presiden MESF, Encik Muhammad Naim Al Amin bin Saharudin dan Setiausaha Presiden MESF, Encik Syed Fakrurrozi bin Syed Agil

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
BATC: Laluan Malaysia mudah

PETALING JAYA: Laluan Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pada Februari ini dilihat selesa untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Skuad lelaki selaku juara bertahan dan selaku pilihan keempat kejohanan mengetuai Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan serta Brunei.

Sementara, pasukan wanita dalam Kumpulan Y dijangka berdepan cabaran apabila diundi bersama-sama pilihan ketiga, Thailand selain Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, selepas undian berakhir, semalam, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut menyuarakan keyakinannya tentang peluang skuad kebangsaan untuk mara ke suku akhir.

“Sudah pasti kita akan layak ke suku akhir kerana inilah undian yang telah diputuskan, baik pasukan lelaki dan wanita, kami akan ke suku akhir,” katanya.

Menurut Rexy, pemain negara perlu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik pada BATC dan tidak lagi menghampakan peminat selepas persembahan mengecewakan pada Terbuka Malaysia, awal bulan ini.

Jelasnya, persediaan skuad kebangsaan berjalan dengan lancar dan hanya penarikan diri Justin Hoh akibat kecederaan yang memaksa barisan kejurulatihan menukar pemain perseorangan pada saat akhir.

“Ketiadaan Justin (yang ditimpa kecederaan lutut kanan), kita kembali menyenaraikan Leong Jun Hao dan selebihnya kita menurunkan barisan terkuat dengan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong menjadi petaruhan kita dalam perseorangan lelaki,” ujarnya.

Mengulas mengenai skuad wanita, Rexy memberitahu, berdepan Thailand memang sukar buat Malaysia dan harapan diletakkan kepada beregu, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meraih mata.

“Untuk Pearly-Thinaah saya berharap mereka dapat membantu skuad negara mengutip mata, manakala, beregu kedua pula, peluang kita 50-50,” tambahnya.

Beliau menegaskan, untuk edisi kali ini jauh berbeza suasananya dengan BATC dua tahun lalu, kerana rata-rata negara peserta mahu memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan walaupun China tidak turunkan semua pemain utama tetapi Korea Selatan menyenaraikan semua pemain pilihan.

Katanya, memandangkan tidak banyak kejohanan yang tinggal sebelum tarikh akhir pada penghujung April ini, para pemain mahu memanfaatkan penampilan mereka pada BATC untuk mengutip mata Olimpik. – UTUSAN

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad hoki cipta sensasi layak final Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mencipta sejarah apabila mara ke final edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman.

Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Wallace Tan melakar kemenangan 4-3 ke atas Poland pada separuh akhir yang penuh mendebarkan di Stadium Hoki Oman, awal pagi tadi.

Malaysia akan bertemu Belanda bagi penentuan gelaran juara pada jam 12.20 tengah malam ini.

Kapten skuad negara, Akhimullah Anuar Esook bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukannya supaya kekal fokus bagi pertemuan dengan Belanda dalam misi mereka mencipta sejarah baharu menjuarai kejohanan edisi kali pertama itu.

“Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini. Kami berkorban banyak perkara sejak dari mula kejohanan ketika seri 3-3 dengan Oman sebelum kami bangkit mencatat kemenangan demi kemenangan.

“Kami perlu fokus kerana masih ada satu perlawanan terakhir untuk kami terus mencipta sejarah baharu. Sebagai rakyat Malaysia, kami perlu berjuang memberikan yang terbaik buat negara.

“Belanda memiliki pemain yang hebat dan merupakan negara nombor satu dunia ketika ini. Namun, kami perlu fokus dan berikan aksi terbaik buat negara hingga hujung perlawanan,” katanya yang meledak dua gol dalam perlawanan bertemu Poland.

Pada aksi bertemu Poland, Malaysia terlebih dahulu di depan menerusi penalti stroke yang disempurnakan Arif Syafie Ishak seawal minit ketujuh sebelum lawan menyamakan kedudukan menerusi gol padang Damian Jarzembowski dua minit kemudian.

Skuad negara bagaimanapun kembali garang apabila meledak tiga gol menerusi gol padang yang disudahkan Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19 dan Akhimullah menyumbang dua gol pada minit ke-22 dan 24.

Poland cuba bangkit apabila berjaya menjaringkan dua gol padang menerusi Wojciech Rutkowski minit ke-27 dan Jakub Holosyniuk minit ke-30 bagaimanapun ia masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Malaysia ke final.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia