Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus tetap berlumba di Adelaide

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap menyertai saingan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia bermula Jumaat hingga Ahad ini meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Shah Firdaus yang cedera akibat kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai baru-baru ini, bakal mengharungi perlumbaan berkenaan bersama-sama Datuk Azizulhasni Awang bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, menerusi perbincangan dengan Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley, mereka berpandangan yang Shah Firdaus akan ke kejohanan berkenaan sebelum mengharungi perlumbaan seterusnya di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi dari 21 hingga 26 Februari nanti.

“Dia mengalami luka-luka tetapi nasib tak patah. Apapun selepas berbincang dengan John, John kata dia masih bercadang membawa Shah ke Adelaide untuk Piala Negara-Negara tetapi mungkin prestasinya tidak akan begitu baik, tidak 100 peratus.

“Namun adalah penting untuk membawa Shah Firdaus ke sana dan kita pun tengah cuba melakukan yang terbaik untuknya apatah lagi Datuk Azizul pun ada di sana nanti.

“Namun saya percaya bahawa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia nanti, Shah Firdaus akan kembali di tahap prestasinya. Walaupun mengalami kecederaan, dia sepatutnya sudah dapat kembali pulih (pada ketika itu di New Delhi).

“Di New Delhi, itu juga kejohanan kelayakan tetapi selepas berbincang dengan pasukan, dia percaya dalam tempoh tiga minggu lagi, Shah Firdaus boleh kembali pulih. Selepas itu, pada Mac, ada Piala Negara-Negara di Hong Kong (15-17 Mac) dan kemudian di Milton, Kanada (juga Piala Negara-Negara pada 12-14 April).

“Jadi kita pastinya perlu mengambil kesempatan yang ada untuk menyertai semua Piala Negara-Negara supaya kita berada di kedudukan yang sepatutnya (ke Paris 2024),” kata Amarjit.

Tempoh kelayakan Paris 2024 bagi sukan berbasikal trek bermula sejak 19 Julai lalu sehingga 14 April ini.

Sebelum ini, Shah Firdaus yang dikenali sebagai ‘The Terminator Shah’ itu terbabit dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi selepas tayar basikalnya meletup ketika memecut untuk mengejar motosikal di hadapannya – insiden yang sama seperti dilalui Azizulhasni sebelum Sukan Asia Hangzhou, tahun lalu.

Akibat daripada kemalangan itu, atlet berusia 28 tahun berkenaan mengalami kecederaan di bahagian bahu kirinya, luka di keseluruhan bahagian paha dan bengkak di buku lali menyebabkan beliau tidak mampu untuk berjalan.

-Berita Harian