Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang ke suku akhir cerah

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ternyata boleh menarik nafas lega dan gembira apabila skuad negara tidak diundi dalam kumpulan maut bagi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bermula 13 hingga 18 Februari depan.

Menurut Rexy, berdasarkan undian dijalankan secara atas talian hari ini, ia sudah pasti membuka peluang cerah buat skuad lelaki mara ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei.

“Sudah pasti kita akan ke suku akhir berdasarkan undian sebentar tadi. Ia akan membolehkan penganjur menjual tiket mereka dan penonton harus datang beramai-ramai memberi sokongan serta menyaksikan kejohanan menarik ini,” kata bekas pemain beregu lelaki Indonesia itu.

Ujarnya, beliau sudah memberitahu pemain supaya fokus kepada kejohanan ini dengan memberikan keputusan membanggakan serta berjuang habis-habisan selepas aksi buruk di Terbuka Malaysia.

“Berikan kegembiraan dan banggakan negara. Semua pemain sudah mempersiapkan diri dengan baik sekali walaupun kita dihimpit masalah kecederaan apabila perseorangan lelaki Justin Hao terpaksa diketepikan dan digantikan dengan Leong Jun Hao.

“Kita membariskan barisan terkuat dengan kehadiran perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Jun Hao, Ng Tze Yong dan pemain sedang meningkat naik, Eugen Owe.

“Beregu pula akan dibarisi gandingan bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri,” katanya.

Bagi saingan wanita, Rexy juga yakin srikandi negara mampu melayakkan diri ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Skuad wanita diundi bersama Thailand dan UAE juga saya rasa kita akan ke suku akhir. Cuma kita harus realistik dalam perseorangan kerana ia sukar, sekurang-kurangnya seorang harus menang.

“Bagi beregu saya rasa 50-50 dengan Pearly Tan-Thinaah selalu berdepan pasangan nombor satu Thailand. Beregu kedua pula lebih menarik untuk dilihat, apa pun kita perlu menang untuk berada di tangga teratas kumpulan seterusnya mengelak bertemu China dan Jepun di suku akhir,” katanya.

Bagi skuad wanita pula empat pemain perseorangan dipertaruhkan iaitu Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching, manakala beregu dibarisi Pearly-Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Tambah Rexy, kejohanan itu akan menjadi lebih menarik kerana menawarkan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris.

“Saya sudah pasti China tidak menghantar skuad utama tetapi pemain lain mereka tetap perlu mencari mata untuk ke Olimpik. Mereka akan terus menggunakan ‘gear enam’ seawal saingan apabila bakal bertemu India, Hong Kong.

“Lagi pun sudah tidak banyak kejohanan yang menawarkan mata Olimpik kerana selepas ini hanya tinggal Seluruh England, Terbuka Perancis dan Swizterland. Ia akan berlangsung menarik di sini, kita akan melihat perlawanan berkualiti,” katanya.

-Harian Metro