KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki badminton negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dilihat masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap optimum.
Jurulatih negara, Tan Bin Shen menegaskan dia tidak merasakan prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin sudah mencapai tahap maksimum dan yakin gandingan berkenaan mampu untuk meningkatkan lagi permainan mereka.
Sze Fei-Nur Izzuddin sebelum ini berpisah pada November 2022 sebelum bergandingan semula pada Mei tahun lalu dan prestasi mereka pada awal musim 2024 dilihat kurang memberangsangkan.
Gandingan ke-21 dunia itu memulakan kempen 2024 dengan tersingkir di pusingan kedua PETRONAS Terbuka Malaysia dan keputusan itu turut berlaku pada kejohanan seterusnya di Terbuka India.
Pada saingan Masters Indonesia minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir seawal pusingan pertama apabila tewas di tangan gandingan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-14, 14-21, 18-21.
“Untuk kata prestasi mereka sudah mencapai tahap maksimum, hanya mereka berdua sahaja yang dapat merasainya.
“Bagi saya, selepas mereka digandingkan sebelum berpisah dan digandingkan semula, mereka pasti mempunyai sasaran tertentu.
“Jadi, saya tak mahu mengatakan prestasi mereka sudah tak boleh pergi lagi. Saya rasa mereka masih ada peluang untuk meningkatkan prestasi permainan mereka. Tapi segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri,” kata Bin Shen.
Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual turut mewakili skuad lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 18 Februari ini.
Turut menggalas tugas dalam usaha pasukan lelaki mempertahankan gelaran juara di BATC kali ini adalah beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.
Lee Zii Jia pula akan mengetuai pemain perseorangan bersama Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Owe.-Berita Harian