Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Negeri Sembilan sasar pertahan emas ragbi Sukma

Seremban: Meskipun bakal tampil dengan sebahagian pemain baharu, pasukan ragbi tujuh sebelah Negeri Sembilan kekal fokus kepada misi mempertahankan pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos depan.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan (NSRU), Shahrulfitri Borhan berkata, pihaknya sudah membentuk pasukan mantap dibarisi 18 pemain pada peringkat awal untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi pada Sukma di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 12 pemain akan dipilih bagi menggalas cabaran di Sarawak nanti.

“Sebahagian daripada mereka adalah pemain baharu yang dicungkil dari beberapa kejohanan di peringkat akar umbi dan mereka diyakini mampu menggalas cabaran di Sukma nanti.

“Semua pemain ini sudah diuji dalam empat kejohanan tempatan dan satu peringkat antarabangsa di Sri Lanka sepanjang tahun lalu dan ternyata prestasi mereka amat memberangsangkan.

“Tumpuan kami adalah mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2022 dan akan berusaha memastikan reputasi itu tidak tercalar,” katanya.

Menurut Shahrulfitri, mereka dilatih jurulatih berpengalaman, Yusri Ramlee dan dibantu Khairul Azhar Shaarani dalam memastikan pasukan itu benar-benar dapat merealisasikan sasaran ditetapkan.-Harian Metro