KUALA LUMPUR: Berakhirnya kempen ‘pramatang’ di Piala 2023 tidak bermakna skuad negara boleh bersenang-lenang memandangkan misi ke Arab Saudi bagi Piala Asia 2027 akan diteruskan.
Selepas dua perlawanan, skuad bimbingan Kim Pan Gon mengungguli Kumpulan D dengan enam mata sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang juga slot automatik ke Piala Asia 2027.
Justeru, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan perancangan rapi perlu disusun bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan prestasi bagi meneruskan ‘peperangan’ menentang Oman di tempat lawan dan laman sendiri, Mac ini.
Jelasnya, skuad negara akan mengharungi sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum menentang Oman tanpa mengira sama ada aksi terbabit berlangsung di sini mahupun di luar negara.
“Kita ada beberapa pilihan, mungkin kita akan ke Dubai jika dapat pasukan yang bagus ataupun kita bermain di tempat sendiri. Kita masih ada kerisauan meskipun kita sudah mendapat enam mata maksimum dan ada baki empat perlawanan lagi.
“Kita tidak boleh terlepas peluang untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah tiket sebagai 18 pasukan terbaik di Arab Saudi 2027.
“Sebab itu persiapan itu (berdepan Oman) adalah amat penting dan kita sedang berusaha untuk dapatkan sekurang-kurangnya dua perlawanan sebelum kita pergi ke Oman,” kata Hamidin.
Dalam masa sama, Hamidin juga mengakui dua aksi berdepan Oman itu mampu menjadi penentu kepada nasib skuad kebangsaan sekali gus mengharapkan mereka mampu mencuri mata pada kempen kelayakan, dua bulan lagi.
“Walaupun kita sudah ada enam mata, kita mesti mencuri mata daripada dua perlawanan menentang Oman ini. Sekurang-kurangnya seri ataupun satu menang dan satu kalah kerana kita tidak boleh kalah dalam kedua-dua pertemuan itu.
“Kalau itu terjadi, kita ada risiko tinggi apabila menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di laman sendiri nanti. Kita perlu cuba untuk layak lebih awal sekali gus dapat konsisten beraksi di Piala Asia,” katanya.-Berita Harian