Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aidil Sholeh tidak mahu persiakan peluang

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di Masters Thailand bermula Selasa ini yang juga kejohanan sulung disertainya pada tahun ini.

Jelas Aidil, dia mahu memanfaatkan kejohanan itu dengan cuba memperbaiki prestasi permainannya terutama taktikal permainan dan juga ketahanan mental.

“Saya kurang dari segi taktikal dan juga mentaliti. Fizikal dan yang lain itu, semua boleh dikatakan OK tetapi mentaliti, keberanian itu agak kurang konsisten. Saya tak pasti kenapa, tetapi ia kerap berlaku dan sukar untuk dikawal.

“Apapun, saya sudah berusaha terutama dalam latihan supaya lebih fokus dan memperkemaskan lagi daya tumpuan ketika melakukan pukulan.

“Saya bersyukur kerana masih boleh berada dalam ini (kem negara). Sasaran saya (untuk musim 2024) nak lebih baik dalam setiap kejohanan disertai. Kalau boleh meraih keputusan yang baik dan boleh memenangi kejohanan supaya dapat menaikkan ranking saya dan seterusnya menyertai kejohanan yang lebih tinggi,” katanya.

Dia yang menduduki ranking ke-90 dunia ketika ini akan membuka tirai Masters Thailand bertemu lawan dari Hong Kong, Chan Yin Chak di pusingan kelayakan.

Ia adalah pertembungan kali kedua antara mereka berdua selepas kali terakhir kemenangan memihak kepada Aidil di pusingan kelayakan Terbuka Macau 2019 namun ia tidak lagi boleh dijadikan ukuran memandangkan lawannya itu sudah berada di ranking lebih tinggi daripadanya, ke-72 dunia pada ketika ini.

Pencapaian terbaik Aidil pada tahun lalu adalah memenangi Cabaran Antarabangsa Indonesia di Surabaya selepas menewaskan pemain Jepun, Keita Makino 21-14, 21-6.

-Harian Metro