Skuad Harimau Malaya diberi sambutan wira sejurus tiba di tanah air selepas menamatkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar.
Kepulangan skuad kendalian Kim Pan Gon itu disambut meriah penyokong Harimau Malaya yang setia menanti di balai ketibaan KLIA.
Kepulangan pasukan bola sepak kebangsaan turut disambut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, bersama timbalannya, YB Adam Adli.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Abdul Rashi Yaakub.
YB Hannah turut menyampaikan cek peruntukan RM 5 juta daripada Kerajaan Malaysia kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia yang diwakili Timbalan Presiden FAM, Dato’ S.Sivasundram.












