Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harap skuad kita tak jadi ‘kenduri’ Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Misi untuk menewaskan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E sememangnya menjadi impian skuad Harimau Malaya dan penyokong namun harapan realistik perlu disandarkan dengan mempertimbangkan prestasi semasa ketika ini.

Mengulas mengenai pertembungan terbabit, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus mengharapkan anak buah Kim Pan Gon tidak menjadi ‘kenduri’ buat ‘Taeguk Warriors’ apatah lagi kedudukan juara Asia dua kali itu juga masih belum selamat.

Jelas bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu, skuad bimbingan Jurgen Klinsmann pasti tiada ‘belas kasihan’ kerana mereka juga terdesak untuk mencipta kemenangan bagi mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

“Kita kena realistik dan apa yang kita harapkan, jangan ‘kena’ (bolos) banyak. Moral pemain pun agak rendah dengan pelbagai kritikan jadi mental mereka kena fokus untuk perlawanan ini. Mungkin ada strategi untuk kita kejutkan Korea Selatan.

“Kita kena terima bahawa Korea Selatan juga dalam keadaan bahaya kerana kalau mereka terperangkap, mereka pun boleh sangkut. Jadi mereka pasti akan bermain bermati-matian untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

“Kalau Korea Selatan sudah mengesahkan slot ke pusingan seterusnya, mungkin mereka boleh buat penggiliran tetapi dalam situasi sekarang, Korea Selatan agak sedikit tertekan untuk elak daripada terkena kejutan daripada kita,” kata Fauzi.

Dalam masa sama, Fauzi juga mengharapkan skuad kebangsaan dapat terus memperaga aksi yang lebih kemas di sebalik dua kekalahan pertama di tangan Jordan dan Bahrain yang menyaksikan kempen di Qatar kali ini berakhir secara ‘pra-matang’.

“Selain kita harap tidak bolos dengan jaringan besar, kita harap mereka boleh bermain dengan cara yang lebih baik. Ada peningkatan ditunjukkan ketika menentang Bahrain tetapi inilah bola sepak di mana kita bolos pada saat akhir.

“Apapun, kita harus menghormati pilihan Pan Gon dan barisan kejurulatihan. Mungkin mereka sedang mencongak rencana yang terbaik untuk menghadapi aksi terakhir ini,” katanya.-Berita harian