Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong kembali turun berlatih

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sudah mula menjalani latihan ringan bersama kem skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan belakang ketika pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia 2024, dua minggu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu menjalani sesi latihan bersama jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini dengan program latihan mengikuti had proses pemulihan.

Tze Yong berkata, dia sudah kembali menyertai kem latihan sejak minggu lalu selain mengakui rasa sakitnya kini sudah semakin berkurangan.

“Saya tak berlatih secara penuh lagi. Jadi belum merasainya lagi dan tak tahu sama ada sembuh sepenuhnya lagi ataupun tidak. Minggu lalu, saya hanya menjalani latihan skil yang ringan sahaja dan sejak semalam, ada sedikit perbezaan.

“Tadi ketika berlatih, saya tak rasa sakit kerana mengikuti program latihan yang sudah ditetapkan,” kata Tze Yong yang berkemungkinan akan kembali beraksi pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.

Sementara itu, Seu Bock berkata, proses pemulihan Tze Yong memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya dan BATC adalah pentas pertama buat pemain itu kembali beraksi selepas menarik diri daripada Masters Indonesia dan Masters Thailand.

“Dia masih dalam proses pemulihan dan itulah fokus kami. Pada setiap pagi, dia datang untuk buat pemulihan dan selepas itu berlatih tetapi pergerakannya dihadkan, tak boleh secara penuh. Kami kena ikuti proses pemulihannya.

“Dia memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu. Sakitnya sudah berkurang tetapi kami tak mahu buat sesuatu sehingga sakitnya kembali.

“Sekarang ini, belum pulih sepenuhnya dan kalau dipaksa, ia bukan sesuatu yang bagus,” kata Seu Bock ketika ditemui media hari ini.

Pada PETRONAS Terbuka Malaysia, Tze Yong menarik diri daripada aksi pusingan pertama ketika ketinggalan 8-12 pada set pertama menentang pemain Jepun, Koki Watanabe.-Berita Harian