PETALING JAYA – Skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara menjangkakan saingan sengit apabila turun membuka kempen pada saingan hari pertama Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman esok.
Ketua jurulatihnya, Nabil Fiqri Mohd. Noor percaya aksi pertama Kumpulan A menentang tuan rumah pada pukul 1.40 petang esok (waktu Malaysia) akan memperlihatkan peluang skuad bimbingannya menghadapi baki dua lagi perlawanan selepas itu.
“Esok kita akan menentang Oman dan objektifnya perlawanan esok adalah mendapatkan kemenangan.
“Kita pasti Oman akan berikan tentangan yang sengit kerana mereka bermain di halaman sendiri. Ini memberikan mereka sedikit suntikan moral untuk bermain,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Malaysia mempertaruhkan pengalaman pemain-pemain yang pernah bermain hoki padang bersama skuad senior di pentas antarabangsa seperti penjaga gol, Siti Noor Hafiza Zainordin; kapten, Nur Syafiqah Mohd. Zain; pertahanan, Nurul Safiqah Mat Isa dan penyerang, Nur Zafirah Aziz.
Selain itu, skuad wanita turut mempertaruhkan pemain seperti Fitri Nur Amelia Ramlee, Nur Shafika Ahmad Kamil, Ellya Syahirah Elias, Zati Alyani Muhamad Zubir, Qhairunisya Mohd. Zanili dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri.
Selepas bertemu Oman, anak-anak buahn Nabil akan turun menentang Belanda pada pukul 8.30 malam esok (waktu Malaysia) sebelum melengkapkan saingan Kumpulan A bertemu Fiji pada Khamis (2.30 petang waktu Malaysia).
Sementara itu, skuad lelaki negara pula akan memulakan kempen mereka di pentas Piala Dunia Hoki 5s dalam Kumpulan D menentang Oman dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad ini diikuti aksi terakhir bertemu Fiji keesokannya. – KOSMO! ONLINE