Kuala Lumpur: Jelajah New Zealand dan Australia bulan depan bakal menjadi medan terbaik buat atlet lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang Rigan bagi mencipta rekod baharu kebangsaan.
Menurutnya, selepas berjaya memecahkan rekod berusia 12 tahun semangat untuk terus melakar lagi kejayaan sama semakin membuak-buak demi kemajuan diri dan olahraga Malaysia.
“Tahun lalu, banyak kesilapan saya lakukan, malah saya terkejut mampu mencipta rekod ketika menyertai kejohanan di Korea Selatan,” kata atlet berusia 12 tahun itu.
Ujar Jonah, dia meletakkan sasaran dengan melakukan lontaran 18 meter (m) ke atas iaitu hanya 40 sentimeter (sm) daripada catatan yang dilakukannya sebelum ini.
Pada 24 Oktober tahun lalu, Jonah membaharui rekod kebangsaan milik Adi Alifuddin Hussin 17.54m yang dilakukan di Sukan Sea Jakarta-Palembang 2011, dengan catatan baharu 17.67m di Kejohanan Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan.
Sekiranya berjaya mencapai jarak 18m awal tahun ini, Jonah perlu berkerja lebih keras untuk mendekati rekod Sukan Sea yang dilakukan William Morrison dari Filipina, 18.14m.
“Saya memang mahu pecahkan rekod lagi tahun ini, banyak kejohanan pada bulan dua di New Zealand dan Australia. Saya akan sertai kejohanan di sana untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik selepas cuti panjang,” kata Jonah.
Sepanjang Februai ini, puluhan kejohanan olahraga diiktiraf Olahraga Dunia dianjurkan di New Zealand dan Australia boleh disertai Jonah, namun beliau belum mengetahui kejohanan yang bakal disertainya nanti.-Harian Metro