Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harap sinar di Cincinnati

Kuala Lumpur: Selepas menyaksikan tiga wakil negara terkandas di pusingan kedua Kejohanan Juara-Juara JP Morgan, jurulatih skuasy negara, Ajaz Amat mengharapkan ada sinar buat anak buahnya di Terbuka Cincinnati.

Menurut Ajaz, selain mengharapkan S Sivasangari dan Rachel Arnold dapat bertemu sesama sendiri di Cincinnati beliau juga mensasarkan agar salah seorang daripada mereka mampu mara sehingga ke separuh akhir.

“Semua pemain sudah memberikan persembahan terbaik (di JP Morgan) namun sayangnya mereka tumpas kepada lawan yang berada di ranking lebih tinggi.

“Sebagai contoh Sivasangari sepatutnya dapat mencatat kemenangan (bertemu Sabrina Sobhy) namun nasib tidak menyebelahinya.

“Kejohanan seterusnya buat mereka ialah di Terbuka Cincinnati, bermula 30 Januari ini. Mereka akan berdepan sesama sendiri di pusingan kedua dan berharap salah seorang mampu mara sehingga ke separuh akhir.

“Ng Eain Yow pula akan meneruskan aksi di Terbuka Windy City, Chicago yang bermula 21 Februari,” kata Ajaz.

Dalam aksi di JP Morgan Sivasangari tumpas 9-11, 7-11, 4-11 di tangan Sabrina dari Amerika Syarikat, manakala Rachel kalah kepada pilihan kedua dari Mesir, Nouran Gohar (Egyt), 1-11, 4-11, 6-11.

Eain Yow pula kecundang di tangan pilihan ketiga dari New Zealand, Paul Coll 3-11, 8-11, 3-11. -Harian Metro