KUALA LUMPUR: Beregu muda lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bakal mengorak langkah pertama bagi musim 2024 dengan menyertai Masters Indonesia yang dijadual membuka tirainya, esok.
Kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 500 itu bakal menyaksikan beregu berkenaan memulakan langkah bertemu gandingan dari Mexico, Job Castillo-Luis Armando Montoya Navarro di pusingan kelayakan dengan misi utama, meneruskan momentum cemerlang diraih mereka pada penghujung musim lalu.
Cabaran di Jakarta tentunya menyediakan saingan sengit apatah lagi ia turut disertai beberapa beregu ternama seperti dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mahupun wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Begitupun, Haikal nyata berfikiran positif dan bermotivasi tinggi dengan kemampuan – meletakkan sasaran ke suku akhir meskipun sedar akan halangan yang bakal ditempuh mereka.
“Saya tidak meletak sasaran terlalu tinggi. Saya sasarkan untuk ke suku akhir terlebih dahulu kerana kejohanan Super 500 cukup besar. Malah, saya dan Hon Jian juga mahu konsisten untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir pada setiap kejohanan disertai,” kata Haikal.
Untuk rekod, Haikal dan Hon Jian mula digandingkan bersama pada Julai tahun lalu dan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan pertama disertai mereka di Cabaran Antarabangsa Indonesia (Ogos 2023) apabila mara ke suku akhir.
Haikal-Hon Jian selepas itu menyertai Masters Indonesia I (Super 100) yang menyaksikan mereka terkandas di pusingan kedua di tangan rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 18-21, 19-21.
Beregu itu turut berjaya muncul naib juara di Masters Indonesia II pada Oktober selepas tewas di tangan gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 16-21, 18-21.
Malah gandingan itu juga berjaya mengejutkan beregu di ranking ke-14 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito di final Kejohanan Antarabangsa India (Super 300) untuk meraih gelaran pertama mereka pada musim lalu dan juga di Masters Guwahati (Super 100).-Berita Harian