Kuala Lumpur: Berbaki beberapa hari lagi menjelang Kejohanan Akuatik Dunia edisi ke-21 di Doha, Qatar, Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas meluahkan kepuasannya terhadap persediaan terkini atlet terjun negara.
Menurut Bryan, atlet terjun negara yang sedang menjalani latihan di China sebagai persediaan menyertai kejohanan pada 2 hingga 18 Februari itu sudah berada pada tahap paling maksimum.
“Sekarang ini saya boleh katakan persediaan atlet kita sudah mencapai tahap 100 peratus dan juga sudah bersedia untuk beraksi pada kejohanan yang bakal berlangsung kelak.
“Buat masa ini mereka sedang menjalankan persediaan secara mental dan juga fizikal serta menambah baik kekurangan yang ada menerusi latihan di sini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Menurutnya, harapan untuk menyertai sebarang kejohanan bersama skuad terjun dari China tidak kesampaian kerana pasukan itu baru sahaja selesai daripada kejohanan tempatan.
“Peluang untuk kita adakan kejohanan mini bersama mereka terpaksa dibatalkan, tapi kita tetap menjalankan kejohanan mini dalam kalangan penerjun Malaysia sendiri sebagai salah satu persediaan mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai percubaan sendiri dan setiap Sabtu juga kita adakan satu set terjunan yang menyerupai suasana semasa kejohanan,” katanya.
Ditanya berkenaan peluang atlet negara meraih pingat dalam kejohanan itu, Bryan mengakui masih tidak meletakkan sebarang sasaran kerana baginya perkara paling mustahak adalah untuk atlet layak ke Olimpik dahulu.
“Buat masa sekarang, kita mahu seberapa ramai atlet yang mampu melayakkan diri ke Olimpik kerana umum tahu baru seorang sahaja atlet yang layak iaitu Bertrand Rhodict Lises.
“Jadi kita cuba untuk bantu atlet lain menerusi beberapa acara seperti 10 meter (m), 3m papan anjal seirama dan juga atlet senior yang kita jangkakan bakal layak ke Olimpik bagi menambah slot yang sudah ada,” katanya.
Bryan yang juga bekas penerjun kebangsaan berkata, latihan yang dilakukan atlet negara sudah cukup baik dan berharap mereka mampu memaparkan aksi yang lebih bagus semasa kejohanan kelak.
Tambah Bryan, semua atlet terbabit dijangka bertolak pulang ke tanah air pada Khamis dan berangkat ke Doha, Qatar pada 27 Januari ini untuk beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia.- Harian Metro