Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
200 atlet remaja dijangka menyertai kejohanan olahraga tertutup Pahang

KUANTAN: Seramai 200 atlet remaja dijangka akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang 2024 Stadium Darul Makmur pada 3 dan 4 Februari ini.

Kejohanan dianjurkan Majlis Sukan Pahang (MSP) bagi memilih atlet olahraga terbaik untuk mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak.

Pengarah MSP, Zamri Hassan berkata penganjur menetapkan syarat hanya atlet berusia 16 hingga 21 tahun sahaja dibenarkan bertanding dan berbuka kepada rakyat Pahang serta pemastautin di negeri ini.

Menurutnya, penganjur juga memberi peluang kepada atlet luar yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini

Katanya, sebanyak 11 acara kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan membabitkan acara larian jarak dekat dan jauh serta lompatan termasuk balingan.

“Kita berharap atlet remaja yang sebelum terbabit dalam acara padang dan balapan merebut peluang dengan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang yang akan diadakan bulan depan.

“Jawatankuasa pemilihan akan menilai prestasi setiap atlet yang bertanding sebelum menyenaraikan mereka dalam kontinjen Sukma Pahang,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara acara yang akan dipertandingkan adalah seperti 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 5,000m, 110m lari berpagar (lelaki), 100m lari berpagar (wanita), lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.

Zamri menambah, pihaknya berharap pertandingan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada atlet remaja dari semua daerah di negeri ini, tidak mustahil akan muncul atlet terbaik yang akan membawa pulang pingat emas SUKMA 2024 Sarawak.

Katanya, rekod sebelum ini menerusi kejohanan berkenaan ramai atlet berkualiti ditemui, mereka akan digilap seterusnya disenaraikan untuk mewakili Pahang di pentas SUKMA dan beberapa kejohanan olahraga peringkat kebangsaan.

“Atlet yang mencatat keputusan terbaik dari segi catatan masa dan jarak diberi peluang mengikuti program melangkah ke SUKMA 2024 Sarawak sebelum mereka disenaraikan untuk membawa cabaran Tok Gajah,” katanya.

-Berita Harian