Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 22, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Haikal-Hon Jian mulakan musim di Masters Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu muda lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bakal mengorak langkah pertama bagi musim 2024 dengan menyertai Masters Indonesia yang dijadual membuka tirainya, esok.

Kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 500 itu bakal menyaksikan beregu berkenaan memulakan langkah bertemu gandingan dari Mexico, Job Castillo-Luis Armando Montoya Navarro di pusingan kelayakan dengan misi utama, meneruskan momentum cemerlang diraih mereka pada penghujung musim lalu.

Cabaran di Jakarta tentunya menyediakan saingan sengit apatah lagi ia turut disertai beberapa beregu ternama seperti dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mahupun wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Begitupun, Haikal nyata berfikiran positif dan bermotivasi tinggi dengan kemampuan – meletakkan sasaran ke suku akhir meskipun sedar akan halangan yang bakal ditempuh mereka.

“Saya tidak meletak sasaran terlalu tinggi. Saya sasarkan untuk ke suku akhir terlebih dahulu kerana kejohanan Super 500 cukup besar. Malah, saya dan Hon Jian juga mahu konsisten untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir pada setiap kejohanan disertai,” kata Haikal.

Untuk rekod, Haikal dan Hon Jian mula digandingkan bersama pada Julai tahun lalu dan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan pertama disertai mereka di Cabaran Antarabangsa Indonesia (Ogos 2023) apabila mara ke suku akhir.

Haikal-Hon Jian selepas itu menyertai Masters Indonesia I (Super 100) yang menyaksikan mereka terkandas di pusingan kedua di tangan rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 18-21, 19-21.

Beregu itu turut berjaya muncul naib juara di Masters Indonesia II pada Oktober selepas tewas di tangan gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 16-21, 18-21.

Malah gandingan itu juga berjaya mengejutkan beregu di ranking ke-14 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito di final Kejohanan Antarabangsa India (Super 300) untuk meraih gelaran pertama mereka pada musim lalu dan juga di Masters Guwahati (Super 100).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bryan puas hati persediaan atlet terjun

Kuala Lumpur: Berbaki beberapa hari lagi menjelang Kejohanan Akuatik Dunia edisi ke-21 di Doha, Qatar, Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas meluahkan kepuasannya terhadap persediaan terkini atlet terjun negara.

Menurut Bryan, atlet terjun negara yang sedang menjalani latihan di China sebagai persediaan menyertai kejohanan pada 2 hingga 18 Februari itu sudah berada pada tahap paling maksimum.

“Sekarang ini saya boleh katakan persediaan atlet kita sudah mencapai tahap 100 peratus dan juga sudah bersedia untuk beraksi pada kejohanan yang bakal berlangsung kelak.

“Buat masa ini mereka sedang menjalankan persediaan secara mental dan juga fizikal serta menambah baik kekurangan yang ada menerusi latihan di sini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurutnya, harapan untuk menyertai sebarang kejohanan bersama skuad terjun dari China tidak kesampaian kerana pasukan itu baru sahaja selesai daripada kejohanan tempatan.

“Peluang untuk kita adakan kejohanan mini bersama mereka terpaksa dibatalkan, tapi kita tetap menjalankan kejohanan mini dalam kalangan penerjun Malaysia sendiri sebagai salah satu persediaan mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai percubaan sendiri dan setiap Sabtu juga kita adakan satu set terjunan yang menyerupai suasana semasa kejohanan,” katanya.

Ditanya berkenaan peluang atlet negara meraih pingat dalam kejohanan itu, Bryan mengakui masih tidak meletakkan sebarang sasaran kerana baginya perkara paling mustahak adalah untuk atlet layak ke Olimpik dahulu.

“Buat masa sekarang, kita mahu seberapa ramai atlet yang mampu melayakkan diri ke Olimpik kerana umum tahu baru seorang sahaja atlet yang layak iaitu Bertrand Rhodict Lises.

“Jadi kita cuba untuk bantu atlet lain menerusi beberapa acara seperti 10 meter (m), 3m papan anjal seirama dan juga atlet senior yang kita jangkakan bakal layak ke Olimpik bagi menambah slot yang sudah ada,” katanya.

Bryan yang juga bekas penerjun kebangsaan berkata, latihan yang dilakukan atlet negara sudah cukup baik dan berharap mereka mampu memaparkan aksi yang lebih bagus semasa kejohanan kelak.

Tambah Bryan, semua atlet terbabit dijangka bertolak pulang ke tanah air pada Khamis dan berangkat ke Doha, Qatar pada 27 Januari ini untuk beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia.- Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonah azam atasi 18m

Kuala Lumpur: Jelajah New Zealand dan Australia bulan depan bakal menjadi medan terbaik buat atlet lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang Rigan bagi mencipta rekod baharu kebangsaan.

Menurutnya, selepas berjaya memecahkan rekod berusia 12 tahun semangat untuk terus melakar lagi kejayaan sama semakin membuak-buak demi kemajuan diri dan olahraga Malaysia.

“Tahun lalu, banyak kesilapan saya lakukan, malah saya terkejut mampu mencipta rekod ketika menyertai kejohanan di Korea Selatan,” kata atlet berusia 12 tahun itu.

Ujar Jonah, dia meletakkan sasaran dengan melakukan lontaran 18 meter (m) ke atas iaitu hanya 40 sentimeter (sm) daripada catatan yang dilakukannya sebelum ini.

Pada 24 Oktober tahun lalu, Jonah membaharui rekod kebangsaan milik Adi Alifuddin Hussin 17.54m yang dilakukan di Sukan Sea Jakarta-Palembang 2011, dengan catatan baharu 17.67m di Kejohanan Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan.

Sekiranya berjaya mencapai jarak 18m awal tahun ini, Jonah perlu berkerja lebih keras untuk mendekati rekod Sukan Sea yang dilakukan William Morrison dari Filipina, 18.14m.

“Saya memang mahu pecahkan rekod lagi tahun ini, banyak kejohanan pada bulan dua di New Zealand dan Australia. Saya akan sertai kejohanan di sana untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik selepas cuti panjang,” kata Jonah.

Sepanjang Februai ini, puluhan kejohanan olahraga diiktiraf Olahraga Dunia dianjurkan di New Zealand dan Australia boleh disertai Jonah, namun beliau belum mengetahui kejohanan yang bakal disertainya nanti.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perbaiki kecergasan Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Sudut kecergasan fizikal menjadi elemen yang akan ditambahbaik oleh pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj selepas menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman dengan berada di kedudukan kelima keseluruhan.

Skuad Speedy Tigers yang sudah terlepas peluang ke Sukan Olimpik Paris 2024, menewaskan Kanada 3-1 dalam penentuan shoot-out selepas terikat tanpa jaringan pada aksi sebenar penentuan tempat kelima dan keenam, dilihat perlu mempertingkatkan kecergasan fizikal selain beberapa faktor lain.

Selain itu, Arul secara peribadi menyifatkan anak buahnya mempunyai peratusan peluang yang lebih besar berbanding lawan di Oman namun tidak berupaya untuk menjelmakan sentuhan penyudah sempurna dan ia menghukum pasukan.

“Ini pandangan peribadi saya dari segi hoki, kejurulatihan dan pasukan. Di kejohanan ini, apabila tengok statistik kita, ‘circle entry’ kita, peluang yang dicipta semuanya lebih tinggi berbanding pasukan lawan.

“Namun kita tak dapat menang disebabkan sentuhan penyudah kita tak dapat dilaksanakan dengan lebih teliti ataupun ‘decision making; dalam ‘circle opponent’ tak dilakukan dengan baik.

“Manakala dalam kotak D, kita punya ‘low body position’ tak mencukupi selain kemahuan untuk menang bola 50-50 dan menyebabkan pihak lawan dapat melakukan jaringan.

“Namun secara keseluruhan, kita kena perbaiki dua tiga perkara… salah satunya kecergasan fizikal, kita akan menyambung latihan dan di masa depan kita akan dapat sesuatu kejayaan.

“Kepada peminat Malaysia, bagi pihak pasukan kita ingin menyuarakan rasa kecewa kami tetapi berharap peminat hoki tanahair meneruskan sokongan kepada hoki kerana saya pasti kita akan melalui fasa seperti ini. Namun pada satu hari nanti, (dengan) kerja yang betul dan proses pembangunan yang baik, pastinya kita akan mencapai kejayaan,” katanya.

Pada perlawanan terakhir menentang Kanada, gol kemenangan Speedy Tigers menerusi ‘shoot-out’ dijaringkan Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Perlawanan turut menyaksikan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
200 atlet remaja dijangka menyertai kejohanan olahraga tertutup Pahang

KUANTAN: Seramai 200 atlet remaja dijangka akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang 2024 Stadium Darul Makmur pada 3 dan 4 Februari ini.

Kejohanan dianjurkan Majlis Sukan Pahang (MSP) bagi memilih atlet olahraga terbaik untuk mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak.

Pengarah MSP, Zamri Hassan berkata penganjur menetapkan syarat hanya atlet berusia 16 hingga 21 tahun sahaja dibenarkan bertanding dan berbuka kepada rakyat Pahang serta pemastautin di negeri ini.

Menurutnya, penganjur juga memberi peluang kepada atlet luar yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini

Katanya, sebanyak 11 acara kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan membabitkan acara larian jarak dekat dan jauh serta lompatan termasuk balingan.

“Kita berharap atlet remaja yang sebelum terbabit dalam acara padang dan balapan merebut peluang dengan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang yang akan diadakan bulan depan.

“Jawatankuasa pemilihan akan menilai prestasi setiap atlet yang bertanding sebelum menyenaraikan mereka dalam kontinjen Sukma Pahang,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara acara yang akan dipertandingkan adalah seperti 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 5,000m, 110m lari berpagar (lelaki), 100m lari berpagar (wanita), lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.

Zamri menambah, pihaknya berharap pertandingan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada atlet remaja dari semua daerah di negeri ini, tidak mustahil akan muncul atlet terbaik yang akan membawa pulang pingat emas SUKMA 2024 Sarawak.

Katanya, rekod sebelum ini menerusi kejohanan berkenaan ramai atlet berkualiti ditemui, mereka akan digilap seterusnya disenaraikan untuk mewakili Pahang di pentas SUKMA dan beberapa kejohanan olahraga peringkat kebangsaan.

“Atlet yang mencatat keputusan terbaik dari segi catatan masa dan jarak diberi peluang mengikuti program melangkah ke SUKMA 2024 Sarawak sebelum mereka disenaraikan untuk membawa cabaran Tok Gajah,” katanya.

-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KEJOHANAN JUNIOR CYCLING MALAYSIA SIRI 1-2024 SELANGOR

Kejohanan JCM Ujian Masa Perseorangan Siri 1-24 telah diadakan pada 19 hingga 21 Januari 2024 bermula di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Sungai Besar dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Tok Khalifah, Selangor.

Kejohanan JCM pada siri kali ini merangkumi 19 kategori dari peringkat umur 3 hingga 22 tahun serta tambahan kategori fixie bagi menberi peluang kepada peminat-peminat fixie anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor.

Siri ini merupakan kejohanan kali pertama di Selangor dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harap sinar di Cincinnati

Kuala Lumpur: Selepas menyaksikan tiga wakil negara terkandas di pusingan kedua Kejohanan Juara-Juara JP Morgan, jurulatih skuasy negara, Ajaz Amat mengharapkan ada sinar buat anak buahnya di Terbuka Cincinnati.

Menurut Ajaz, selain mengharapkan S Sivasangari dan Rachel Arnold dapat bertemu sesama sendiri di Cincinnati beliau juga mensasarkan agar salah seorang daripada mereka mampu mara sehingga ke separuh akhir.

“Semua pemain sudah memberikan persembahan terbaik (di JP Morgan) namun sayangnya mereka tumpas kepada lawan yang berada di ranking lebih tinggi.

“Sebagai contoh Sivasangari sepatutnya dapat mencatat kemenangan (bertemu Sabrina Sobhy) namun nasib tidak menyebelahinya.

“Kejohanan seterusnya buat mereka ialah di Terbuka Cincinnati, bermula 30 Januari ini. Mereka akan berdepan sesama sendiri di pusingan kedua dan berharap salah seorang mampu mara sehingga ke separuh akhir.

“Ng Eain Yow pula akan meneruskan aksi di Terbuka Windy City, Chicago yang bermula 21 Februari,” kata Ajaz.

Dalam aksi di JP Morgan Sivasangari tumpas 9-11, 7-11, 4-11 di tangan Sabrina dari Amerika Syarikat, manakala Rachel kalah kepada pilihan kedua dari Mesir, Nouran Gohar (Egyt), 1-11, 4-11, 6-11.

Eain Yow pula kecundang di tangan pilihan ketiga dari New Zealand, Paul Coll 3-11, 8-11, 3-11. -Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron kecewa misi di Terbuka India gagal

KEGAGALAN melangkah ke pentas final Terbuka India memberi kekecewaan kepada pemain beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tumpas kepada pasangan nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty awal pagi semalam.

Impian pasangan di ranking keempat dunia untuk melakukan kejutan mara ke pentas final Terbuka India tidak kesampaian apabila mereka tewas dengan keputusan 18-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Bagi Aaron dan rakan sepasukanya, Wooi Yik, mereka sudah memberikan segala-galanya dengan baik terutama pada set pertama, namun nasib tidak begitu memihak terutama di set kedua selepas matanya terkena pukulan ‘smash’ pihak lawan.

“Saya rasa semuanya ok. Saya rasa ia tidak memberi kesan secara keseluruhannya, tetapi sedikit sahaja.

“Saya fikir, kami sudah memulakan permainan dengan baik di set pertama, namun di set kedua ia tidak memihak kepada corak permainan kami, jadi ia satu kekurangan buat kami ketika menentang mereka,” katanya.

Berdasarkan rekod 10 pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan ke atas Rankireddy-Shetty dengan memperoleh lapan kemenangan berbanding lawan yang hanya meraih dua kemenangan.

Kemenangan tersebut membolehkan beregu dari India itu memperoleh kemenangan ketiga mereka dengan sebelum ini turut menumpaskan Aaron-Wooi Yik di separuh akhir Sukan Asia Hangzhou dan di pentas final Terbuka Indonesia 2023.

Untuk rekod, pada edisi Terbuka India tahun lalu, Aaron-Wooi Yik terkandas di pentas final sejurus tewas di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 21-14, 19-21, 18-21.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Asia: Harapan terlalu tinggi ‘memakan diri’

HARAPAN terlalu tinggi yang diletakkan terhadap Harimau Malaya pada penyertaan pertama dalam tempoh lebih 40 tahun di Piala Asia nyata ‘memakan diri’ apabila skuad negara terpaksa akur tewas pada dua aksi awal Kumpulan E bertemu Jordan dan Bahrain.

Secara realitinya, pengendali negara, Kim Pan-gon tetap menganggap penyertaan kali ini memberi pengajaran paling berguna buat pemain negara untuk segera perbaiki kelemahan khususnya bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Mac ini.

“Faktanya tentang ranking dan pengalaman kerana kami tidak pernah bermain di peringkat ini dalam tempoh 43 tahun. Saya bersimpati dengan pemain yang ada kesungguhan dan impian, begitu juga saya dan penyokong yang mengharapkan sesuatu daripada pasukan.

“Kami kena terima dan saya ambil tanggungjawab ini. Tiada apa yang silap, tetapi mungkin jurulatih yang lakukan sesuatu yang salah kerana saya terlalu mengharapkan yang terbaik.

“Saya beri harapan kepada penyokong dan pemain, jadi sebagai jurulatih semua ini adalah masalah saya, bukan daripada pemain, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau pun peminat. Semua ini adalah masalah jurulatih,” katanya.

Selepas dibelasah 0-4 kepada Jordan, hasrat Harimau Malaya untuk mencuri satu mata daripada Bahrain berkecai apabila negara Asia Barat itu memperoleh gol menerusi Ali Madan di hujung permainan untuk mengesahkan kemenangan 1-0.

Mengulas lanjut, jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan anak buahnya lebih berhak untuk dapatkan keputusan seri, namun sedar penampilan kami ini sudah pun menyerlahkan mentaliti sebenar Malaysia.

“Kami gagal kawal dan dominasi perlawanan, namun seri sebenarnya cukup bagus. Ini kali pertama kami berada di sini sejak 43 tahun, sekurang-kurangnya pemain tunjukkan mentaliti Malaysia yang kukuh dan tidak mengalah.

“Kami berada di ranking 130 dunia, kami perlu tunjukkan yang kami berhak berada di sini. Sebagai jurulatih, saya minta maaf kerana tidak boleh berikan keputusan baik untuk dibanggakan.

“Kepada pemain, saya hargai apa mereka buat, namun inilah kedudukan kami dan kita perlu terima. Kami kena positif kerana masih ada satu lagi perlawanan menentang pasukan gergasi, Korea Selatan,” katanya.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia