Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dua beregu di Olimpik beri kelebihan

PETALING JAYA: Memiliki dua wakil dalam acara beregu lelaki badminton pada Sukan Olimpik di Paris, Julai ini, lebih baik berbanding hanya satu pasangan ke temasya tersebut.

Pandangan itu disuarakan sendiri oleh bekas jaguh beregu negara, Tan Boon Heong yang berpendapat, peluang beregu Malaysia untuk melangkah jauh lebih cerah jika memiliki dua wakil berbanding hanya satu gandingan.

“Bagi saya bagus jika kita ada dua beregu dalam Olimpik, saya percaya ia akan memberi kelebihan kepada Malaysia.

“Macam China, Korea Selatan, biasanya mereka ada dua beregu, jadi, jika pencabar kita masing-masing mempunyai dua wakil, kita pula hanya satu beregu, ia tidak akan berpihak kepada kita,” katanya.

Ketika ini, hanya beregu No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada dalam kelompok lapan terbaik iaitu slot yang melayakkan mereka ke temasya empat tahun sekali itu.

Sementara pasangan No. 2 negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula menghuni ranking ke-12 dunia iaitu empat anak tangga di luar kelompok kelayakan ke Sukan Olimpik.

Dengan tarikh tutup kelayakan pada 28 April depan, Yew Sin-Ee Yi masih mempunyai masa untuk memburu tempat ke Paris.

Yew Sin-Ee Yi pernah berada di kedudukan No. 6 dunia pada tahun lalu, namun, kecederaan lutut yang melanda Ee Yi memaksa mereka berehat lebih sebulan yang turut menyumbang kepada kejatuhan ranking.

Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi telahpun terlepas peluang untuk mengutip mata pada Terbuka India yang mempunyai status Super 750 gara-gara masalah visa.

Menurut Boon Heong, memiliki dua wakil kadang kala memberi kelebihan kepada percaturan terutamanya untuk mengelak bertemu dengan pencabar yang kurang digemari pasangan negara.

“Ada setengah beregu kita tak suka lawan tertentu dan mungkin rakan sepasukan boleh bantu untuk berdepan lawan berkenaan, jadi, peluang itu lebih tinggi,” ujarnya.-UTSUAN