Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia janji terus kerja keras

KUALA LUMPUR: Tiada istilah berputus asa dalam kamus pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila dia berjanji akan terus bekerja keras untuk mencapai tahap prestasi terbaiknya.

Hasrat pemain ranking ke-10 dunia itu untuk merekodkan gelaran pertama musim ini tidak kesampaian apabila dia tewas di tangan wakil Jepun, Kodai Naraoka 21-13, 9-21, 16-21 pada aksi suku akhir Terbuka India di New Delhi, semalam.

Di sebalik kekalahan itu, Zii Jia bagaimanapun kekal positif apabila menyifatkan ia tetap permulaan yang baik buat dirinya untuk saingan musim ini jika dibandingkan tahun lalu.

“Ini adalah suku akhir pertama saya selepas dua kejohanan tahun ini. Ini adalah satu permulaan yang baik berbanding tahun lalu kerana suku akhir pertama saya adalah pada saingan Seluruh England yang mana mara sehingga separuh akhir.

“Sebelum itu saya tewas pusingan pertama dan kedua. Kini, apa yang saya perlu lakukan adalah terus bekerja keras dan tidak berputus asa,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kejohanan pertama musim ini menyaksikan bekas juara Seluruh England itu terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Zii Jia akan meneruskan pemburuan gelaran juara pertamanya musim ini apabila dijadual menyertai saingan Masters Indonesia di Jakarta yang akan bermula Selasa ini.

Dia diundi bertemu pemain India, K Srikanth pada pusingan pertama dan jika menang dia akan berdepan sama ada pilihan kelima dari China, Shi Yu Qi atau Ng Ka Long dari Hong Kong yang kini dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Wong Choong Hann.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa menarik diri daripada kejohanan di Jakarta itu selepas masih belum pulih daripada kecederaan otot tulang belakang yang dialaminya ketika pusingan pertama Terbuka Malaysia.- Berita Harian