Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Witchcraft juara RLIR 2024

LANGKAWI: Perlumbaan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2024 melabuhkan tirai, di sini, hari ini dengan pasukan Witchcraft dari Hong Kong muncul juara baharu bagi kelas utama – Racing.

Sepanjang lima hari perlumbaan, pasukan dikemudi Nick Burns itu mendominasi 10 perlumbaan berturut-turut untuk pulang bersama trofi Cabaran Perdana Menteri ke bumi Hong Kong.

Aksi konsisten pasukan itu diteruskan pada kedua-dua perlumbaan yang berlangsung hari ini di perairan timur Langkawi bagi meletakkan mereka berada di puncak kedudukan keseluruhan dengan sembilan mata penalti.

Pasukan dari Kelab Perahu Layar Diraja Selangor (RSYC), The Next Facto diketuai Rolf Heemskerk muncul naib juara dengan 18 mata penalti manakala Uranus (Tentera Laut Diraja Malaysia, Hasani Hassan, 27 mata) ketiga.

Burns, 80, berkata dia sangat gembira dengan semua perlumbaan yang dipertandingkan, malah Witchcraft berjaya memulakan perlumbaan pertama hingga ke-10 dengan baik berikutan cuaca baik dan angin kencang.

“Ini adalah regatta terbaik dan memperoleh kejayaan pada awal tahun pasti memberi motivasi sepanjang tahun ini. Angin kencang dan bertindak pantas mengeksploitasi kelebihan itu menjadi rahsia kejayaan kami,” katanya di sini.

Pasukan RSYC Team diketuai Rizal Mahadi Sazili mengharumkan nama negara apabila muncul juara kelas Sportsboats selepas mengutip 11 mata penalti, mengatasi Navy 1 (Asmawi Azman, 20 mata) di tempat kedua.

Tempat ketiga untuk kelas perlumbaan itu menjadi milik pasukan Universiti Malaysia Terengganu 1 (UMT 1) diketuai Ku Anas Ku Zamil juga dengan catatan 20 mata.

Pada edisi ke-20 kali ini, sebanyak 32 bot membabitkan 240 pelayar dari seluruh dunia berentap merebut gelaran dalam enam kelas iaitu Racing, IRC1, IRC2, Super Boats, Multihull dan Club Class.-Berita Haarian