Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Sarawak hantar 1000 atlet

SIBU, 19 Januari – Sarawak menyasarkan untuk menghantar seramai 1000 orang atlet ke Sukan Malaysia, (SUKMA) yang akan diadakan di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak sebagai tuan rumah juga akan menyertai kesemua 37 acara sukan yang akan dipertandingkan.

“SUKMA kali ini adalah yang terbesar, 37 acara akan dipertandingkan. Kalau dapat kita mahu sebagai tuan rumah, ada atlet tuan rumah di setiap acara.

“Kita akan umumkan tentang acara dan sasaran pingat kita apabila kita sudah agak dekat dengan tarikh penganjuran.

“Ketika ini, ada atlet kita masih berada di luar negara dan ada juga masih di dalam pasukan bayangan yang belum disenarai pendek.” katanya ketika bercakap di sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Sukan Sarawak SUKSAR edisi ketiga di Stadium Tertutup di sini.

Sementara itu mengenai SUKSAR, beliau memberitahu, beliau berpuas hati dengan penganjuran temasya itu kali ini.

Katanya, SUKSAR ini merupakan medan untuk mencungkil atlet yang bakal mewakili Sarawak dalam SUKMA kelak, selain memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai pertandingan sebelum penganjuran SUKMA pada bulan Ogos nanti.

“Mestilah dalam apa-apa yang kita lakukan ada kecacatan dan kelemahan. Sebab itulah kelemahan yang ada di SUKSAR, kita akan dapat pertingkatkan agar kelemahan itu tidak timbul semasa kita menjadi tuan rumah untuk SUKMA kelak,” katanya.

Jelasnya, pegawai dari bahagian lain turut menyertai penganjuran SUKSAR kali ini agar mereka dapat diberikan pendedahan awal sebelum SUKMA 2024 diadakan di 9 bahagian pentadbiran di Sarawak. -RTM