Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MILO, KPM, MSSM iktiraf pencapaian atlet negara

PETALING JAYA: MILO bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini menganjurkan majlis Anugerah KPM-MSSM-MILO 2022 di Putrajaya.

Ia bertujuan mengiktiraf pencapaian luar biasa bakat-bakat muda dalam 13 kategori dan juga barisan guru dan jurulatih yang menyokong mereka dalam perjalanan mencapai kecemerlangan sukan

Antara penerima anugerah untuk 2022 ialah Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang memenangi Anugerah Emas KPM.

Bintang pecut dari Melaka yang berumur 19 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang apabila merangkul pingat gangsa di Sukan Asia 2023 dalam acara 100 meter (m).

Ia adalah pingat pertama yang dimenangi dalam acara 100m oleh seorang rakyat Malaysia dalam tempoh 41 tahun.

Selain mengiktiraf lebih daripada 500 pemenang, anugerah itu juga memaparkan kebolehan atlet muda Malaysia dengan bakat bertaraf dunia, sambil memberikan sokongan kepada individu yang memberikan sumbangan berharga kepada kejayaan mereka.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Lim Ker Win berkata, menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi sememangnya menjadi warisan MILO selama berdekad.

“MILO menjadi sinonim dengan Malaysia, mencerminkan hubungan yang mendalam dengan rakyat Malaysia. Menerusi usaha sama ini, ia memainkan peranan penting memupuk budaya kecemerlangan menerusi sukan sejak dari usia muda.

“Kami berbangga dan seronok menyaksikan pencapaian hebat atlet muda dari segenap lapisan hidup,” katanya.-Berita Harian