Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Cintakan negeri terlebih dahulu, baru letak sasaran pingat Sukma 2024

KANGAR: Perlis belum menetapkan sebarang sasaran pingat bagi temasya Sukan Malaysia 2024 (Sukma 2024) yang dijadualkan berlangsung di Sarawak pada Ogos depan.

Pengerusi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, sasaran pingat bukan keutamaan buat masa ini memandangkan atlet-atlet perlu ditanam dengan semangat cintakan negeri terlebih dahulu bagi menguatkan jati diri mereka.

Wan Zikri berkata, ketetapan berhubung sasaran pingat buat negeri ini akan ditentukan berkemungkinan pada Februari depan sewaktu Majlis Pelancaran Road To Sukma 2024 nanti.

“Buat masa ini pun saya memang dah tengok prestasi atlet-atlet menerusi beberapa persatuan dan dari situ kita dah boleh nilai (prospek pingat). Namun buat masa ini, kita nak fokus tanam semangat kenegerian dalam kalangan atlet terlebih dahulu dan selepas itu barulah kita fikirkan tentang sasaran pingat.

“Kalau kita hanya letakkan fokus bagi sasaran pingat tanpa tanamkan semangat cintakan negeri, atlet-atlet ini hanya bermain semata-mata untuk pingat dan tiada jati diri semangat kenegerian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif kepada Atlet Tinju Perlis di Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini, semalam.

Bagi penganjuran Sukma 2024 ini, Sarawak kembali dipilih menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan temasya berkenaan pada 2016.

Selaku tuan rumah, Sarawak juga telah diberi pilihan bagi memasukkan beberapa sukan tambahan dan antara yang disenaraikan adalah tinju selain muay thai, petanque dan sukan elektronik (E-Sports).

Dalam perkembangan berkaitan, mengulas mengenai perkembangan sukan tinju di Perlis, Wan Zikri berkata, Persatuan Tinju negeri dilihat lebih progresif dan realistik dalam menetapkan sasaran pingat mereka di samping turut menyerap bakat-bakat muda khususnya anak tempatan.

“Langkah ini juga selaras dengan pendekatan baharu oleh kerajaan negeri yang ingin memartabatkan anak Perlis untuk digilap sebagai atlet masa hadapan. Persatuan ini telah memulakan pembangunan atlet sejak 2022 sebagai persediaan bagi melengkapkan sasaran mereka untuk meraih pingat dalam temasya Sukma 2026 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, MSN juga perlu memainkan peranan dalam membantu memperbanyakkan lagi program dan acara pertandingan bagi memberi pendedahan kepada atlet tinju negeri ini.

Tambahnya, penyertaan atlet negeri ini dalam pelbagai program atau acara sukan tinju akan membantu bagi pembangunan mereka pada masa depan.

“Ini bukan hanya membolehkan mereka berkembang di peringkat Sukma sahaja, namun turut ke peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara,” katanya.-UTUSAN