KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke suku akhir badminton Terbuka India yang berlangsung di New Delhi, hari ini.
Pasangan nombor empat dunia itu hanya memerlukan 31 minit bagi mengatasi wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-10, 21-14 pada aksi pusingan kedua di Dewan Tertutup K D Jadhav.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Aaron-Wooi Yik menentang pasangan yang menghuni ranking ke-31 dunia itu.
“Kami bermain dengan baik dan tidak sesekali memandang rendah kemampuan lawan kami. Bagi kami, setiap lawan adalah bagus.
“Kami hanya fokus dengan corak permainan kami dan berharap dapat kekalkan konsistensi menjelang aksi suku akhir esok,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menanti Aaron-Wooi Yik di suku akhir, esok adalah pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Ia memberi peluang kepada bekas juara dunia itu untuk melunaskan dendam mereka ke atas lawan berkenaan selepas tewas ketika saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, bulan lalu.
Terdahulu, Yu Chen-Xuan Yi mara ke kelompok lapan terbaik selepas menyingkirkan satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei 21-19, 17-21, 21-17 pada aksi pusingan kedua.-Berita Harian