KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan dominasinya ke atas wakil Indonesia, Jonatan Christie apabila menewaskan lawan itu untuk melangkah ke suku akhir Terbuka India, hari ini.
Pemain ranking ke-10 dunia itu menampikan aksi terpuji untuk merakam kemenangan straight set ke atas Jonatan yang menghuni ranking nombor lima dunia 21-15, 21-13 pada aksi pusingan kedua yang berlangsuang di Dewan Tertutup K D Jadhav di New Delhi.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kelima berturut-turut Zii Jia ke atas Jonatan sejak saingan Seluruh England 2020 dengan yang terakhir direkodkan pada aksi di Kejohanan Dunia, Ogos tahun lalu.
Sebelum itu, Zii Jia tewas empat kali berturut-turut di tangan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 berkenaan sejak 2018 hingga 2019.
“Jonatan adalah seorang pemain yang bagus, dia adalah pemain kedua terbaik Indonesia. Kami pun sudah bermain banyak kali menentang antara satu sama lain dan sudah tahu mengenai permainan masing-masing.
“Dalam perlawanan, sudah tentu ada yang menang dan kalah.
“Saya hanya fokus aksi di dalam gelanggang dan mengikut semua yang diajar oleh jurulatih (Wong Tat Meng), saya harap boleh kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya,” kata Zii Jia menerusi rakaman temu bual yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Meskipun terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu, Zii Jia menyifatkan kejayaan melangkah ke suku akhir kali ini sebagai permulaan yang positif buat dirinya untuk saingan musim ini.
Berbanding saingan awal musim lalu, Zii Jia terpaksa akur apabila tewas di pusingan awal dalam ketiga-tiga kejohanan disertainya termasuklah di pusingan kedua Terbuka India.
“Ia adalah permulaan yang sukar untuk saya pada awal saingan tahun lalu, tetapi kali ini saya berjaya melangkah ke suku akhir. Jadi, saya fikir ia permulaan yang baik untuk tahun dan musim yang baharu,” katanya.
Zii Jia seterusnya akan menentang pemenang perlawanan antara dua wakil Jepun, Takuma Obayashi dengan pilihan kedua kejohanan, Kodai Naraoka bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal mengulangi pencapaian pada edisi tahun lalu yang menyaksikan mereka mara sehingga separuh akhir apabila terkandas di pusingan kedua kali ini.
Pearly-Thinaah yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 16-21, 13-21.-Berita Harian