Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kilat Boy bantu persiapan atlet tinju Sarawak hadapi SUKMA 2024

SIBU, 17 Jan: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong yakin pentas Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 yang berlangsung di sini mampu memberi pendedahan terbaik kepada atlet muda Bumi Kenyalang.

Atlet yang dikenali sebagai Kilat Boy itu berkata, dia sempat turut padang menyaksikan acara tinju dan kagum melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan muda Sarawak.

Juara Kejohanan Profesional Tinju Pakistan 2022 ini berkata, dia yakin atlet Sarawak juga mampu menampilkan aksi kemas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di tempat sendiri.

“Sebagai tuan rumah SUKMA tahun ini, saya berharap atlet yang terpilih kelak terus berlatih dengan tekun dan menjaga disiplin,” katanya kepada TVS.

Terdahulu, Daeloniel hadir menyaksikan hari terakhir acara tinju SUKSAR III di sini hari ini.

Sementara itu dia yang menyumbang emas kepada Sarawak pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur juga kini mula berjinak – jinak dengan bidang kejurulatihan.

“Saya akan membantu mempersiapkan atlet-atlet kita termasuk lakukan sparing dengan mereka, memberi motivasi dan tunjuk ajar yang diperlukan.

“Saya difahamkan sesi latihan SUKMA akan bermula pada bulan depan membabitkan pemilihan atlet. Jurulatih akan nilai kemampuan, ketahanan dan teknik petinju.

Sementara itu dia memaklukan, kemudahan latihan tinju untuk atlet SUKMA ketika ini siap 70 peratus.

“Namun perlu dinaik taraf sedikit supaya atlet kita dapat berlatih dalam suasana yang selesa,” katanya. -TVS