Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2024: Kekangan kewangan jejas kontinjen Terengganu

FAKTOR kekangan kewangan didakwa akan menjejaskan kontinjen Terengganu untuk bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Presiden Persatuan Pelayaran Terengganu, Ibni Amin Busu berkata, walaupun masih mempunyai tempoh masa berbaki kurang dari lapan bulan sebelum Sukma diadakan, namun setiap aktiviti perbelanjaan secara konsisten sebagai pelaburan bagi memburu pingat emas perlu dirangka sebaik mungkin.

Menurutnya, perkara itu bagi memastikan tidak merencatkan momentum persiapan pasukan yang kini menghampiri fasa-fasa akhir program latihan.

Beliau mendakwa agak sukar bagi sukan pelayaran mempertaruhkan seorang atlet untuk menyertai sebanyak mungkin acara sekiranya ia menjadi salah satu langkah penjimatan terhadap kontinjen Terengganu.

“Ini disebabkan sukan ini dipertandingkan mengikut spesifikasi jenis bot atau perahu layar yang berbeza mengikut setiap acara bagi pungutan pingat.

“Bagi jenis-jenis sukan yang boleh dihadkan penyertaan atau mempertaruhkan jumlah atlet yang tidak ramai namun boleh menyertai banyak disiplin acara yang dipertandingkan, mungkin strategi itu berkesan untuk mengehadkan jumlah penyertaan atlet dalam kontinjen negeri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Ibni Amin berkata, ia berbeza bagi sukan pelayaran kerana disiplin acara yang dipertandingkan adalah mengikut spesifikasi bot atau perahu layar yang berlainan bagi setiap pungutan pingat.

Pusat Pelayaran Negeri Terengganu terletak di Duyong Marina Resort merupakan pusat operasi bagi skuad pelayaran Terengganu khususnya bagi persiapan pasukan ke pentas temasya Sukma..

Katanya, malah bagi kategori bot ‘International 420’ yang memerlukan keserasian pasangan dua pelayar untuk mengendalikan perahu layar tersebut sudah tentu akan memberi kesukaran pada mereka beraksi dalam kategori lain yang melibatkan perahu layar berlainan dan sebaliknya.

Justeru, Ibni Amin menyatakan kerajaan negeri mahupun Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selaku pemegang taruh utama kontinjen di negeri ini perlu memikirkan sesuatu atau berusaha mencari kewangan bagi menghantar pasukan bagi sukan pelayaran tersebut.

Mengulas lanjut, bekas Pengarah MSNT itu berpandangan skuad pelayaran Terengganu bakal menerima cabaran yang besar khususnya daripada pasukan tuan rumah pada Sukma 2024 di Sarawak nanti.

Menurutnya, ini kerana pasukan tuan rumah mampu untuk menghantar penyertaan semaksimum mungkin di mana sukan pelayaran berkenaan menawarkan jumlah punggutan pingat yang besar.

Ibni Amin berpandangan skuad pelayaran Terengganu bakal menerima cabaran yang amat besar pada Sukma 2024 di Sarawak khususnya dari pasukan tuan rumah yang mampu untuk menghantar penyertaan semaksimum mungkin di mana sukan tersebut menawarkan jumlah punggutan pingat yang besar.

“Momentum pasukan pelayaran Sarawak sejak kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2016 juga dilihat kian merapatkan jurang dominasi podium oleh Terengganu dengan memberi satu petunjuk bahawa tuan rumah Sukma pada kali ini sememangnya berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki rekod sekali gus muncul selaku juara keseluruhan.

“Selain itu, saingan dari beberapa negeri lain seperti Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor juga perlu diambil perhatian setelah berjaya menghasilkan pelayar berkualiti hasil dari kecemerlangan program pembangunan sukan pelayaran di negeri masing-masing,” jelas beliau.

Sebelum ini, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya mengambarkan situasi kekangan kewangan dan logistik bakal memberi impak pada penyertaan kontinjen negeri bagi Sukma 2024 di Sarawak kali ini.

Katanya, berkemungkinan hanya pasukan mahupun atlet yang melepasi penunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan oleh pemegang taruh menjadi keutamaan untuk beraksi di Sukma 2024.

Berdasarkan rekod Sukma 2022, kontinjen Terengganu gagal untuk mempertahankan juara keseluruhan setelah meraih 168 pingat termasuk 64 pingat emas, 49 pingat perak dan 55 pingat gangsa.

Johor dinobatkan selaku juara keseluruhan Sukma 2022 dengan jumlah pungutan pingat sebanyak 173 meliputi 77 pingat emas, 52 pingat perak dan 43 pingat gangsa. – Sinar