KUALA LUMPUR: Kedudukan pemain badminton dalam program Road To Gold (RTG) tidak tergugat meskipun gagal mencapai sasaran pada Terbuka Malaysia.
Jaminan itu diberi oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang berpendapat, peluang perlu diberi kepada pemain-pemain tersebut bagi menjalani sesi kelayakan Sukan Olimpik di Paris.
“Kita tak boleh membuat analisis umum kepada pemain-pemain ini kerana fokus masing-masing berbeza, sebagai contoh beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Kalau kita tengok adakah mereka memiliki standard seperti Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae ataupun Liang Wei Keng-Wang Chang, saya rasa mereka boleh kalahkan beregu-beregu ini.
“Cuma kita perlu mencari jalan bagaimana untuk mengatasi cabaran tersebut, begitu juga dengan Pearly Tan dan M. Thinaah, ramai beregu wanita datang dari China dan Korea, jadi, kita perlu belajar bagaimana hendak kalahkan mereka,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Bersama Program RTG.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu melakukan lawatan ke bilik media yang bertugas pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena.
Norza berkata, jika melihat dari sudut lebih terperinci, pemain seperti Pearly dan Thinaah baru sahaja kembali daripada kecederaan, tetapi, masih mampu memberi tentangan sengit kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Jelasnya, untuk Aaron dan Wooi Yik, mereka masih lagi berada dalam kelompok lima terbaik dunia dan mana-mana pasangan mampu mengalahkan antara satu sama lain.
“Saya tidak bimbang dengan Aaron dan Wooi Yik kerana kita kena bagi tempoh supaya mereka dapat capai puncak prestasi di Olimpik,” ujarnya.
Mengulas beregu campuran, menurut Norza, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, baru setahun digandingkan dan belum sampai peringkat kematangan.
“Tetapi kita semua tahu kualiti mereka dan Tang Jie-Ee Wei merupakan beregu berkualiti yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala, pemain perseorangan, Ng Tze Yong, dia ditimpa malang kerana kecederaan belakang,” tambah Norza.
Tegas beliau, kesemua pemain tersebut walaupun gagal mara ke separuh akhir mahupun final pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu, tetapi, kelibat mereka dalam program RTG tidak boleh diketepikan. – UTUSAN