Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Negeri Sembilan sasar baiki kedudukan di Sukma Sarawak

Seremban: Negeri Sembilan buat masa ini belum menetapkan sebarang jumlah kutipan pingat emas sebaliknya mahu memastikan kontinjen negeri itu dapat memperbaiki pencapaian dan mampu mengakhiri cabaran dalam kelompok lapan atau sembilan terbaik pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, berkata pada Sukma edisi lalu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan menduduki tempat ke-10 selepas meraih 19 pingat emas, enam perak dan 28 gangsa.

Katanya, kedudukan itu lebih baik berbanding pada temasya Sukma 2018 di Perak apabila kontinjen negeri ini berjaya menduduki tempat ke-12 daripada 15 kontinjen yang bertanding hasil kejayaan mengumpulkan 13 emas, 18 perak dan 43 gangsa.

“Untuk edisi Sukma kali ini, kita mensasarkan untuk berada pada kedudukan lebih baik iaitu sekurang-kurangnya tempat kesembilan daripada keseluruhan kontinjen yang bertanding dengan melepasi pencapaian 2022.

“Dari segi jumlah kutipan pingat, kita belum tetapkan lagi kerana ia memerlukan masa dan selepas kita muktamadkan senarai atlet yang akan dipilih nanti selain meneliti beberapa faktor termasuk cabaran daripada pasukan lain.

“Namun, tumpuan kita untuk memperbaiki pencapaian dan persiapan rapi sedang dilakukan dan akan terus ditingkatkan lagi bagi memastikan impian itu dapat direalisasikan di Sarawak nanti,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Bersempena Sukan Negeri Sembilan (Suknes) 2024 yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di Wisma Negeri di sini, petang ini.

Pada majlis, Aminuddin mengumumkan Mustapha sebagai ketua kontinjen Negeri Sembilan bagi Sukma edisi ke-21, yang dijadualkan akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menurut Mustapha, kontinjen Negeri Sembilan akan membabitkan seramai 450 atlet, namun bilangan itu lebih rendah berbanding edisi lalu seramai 500 atlet dan akan mengambil bahagian dalam 35 acara.

“Kita juga telah menetapkan syarat bahawa mana-mana atlet dalam acara sukan yang gagal meraih sebarang pingat pada dua edisi Sukma yang lalu, tidak akan dipilih sekali lagi pada edisi kali ini.

“Bagaimanapun sekiranya atlet terbabit bertanding dalam mana-mana kejohanan peringkat kebangsaan dan berjaya meraih kedudukan dalam kelompok tiga terbaik, mereka berpeluang untuk disenaraikan semula.

“Oleh itu, masih ada masa buat atlet terbabit membuat persiapan dan menunjukkan prestasi terbaik masing-masing untuk dipilih ke Sarawak nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berharap fokus diberikannya untuk memperkasakan persatuan sukan negeri mulai tahun ini, mampu membawa perubahan terutama dari segi aspek pengurusan dan kredibiliti persatuan berkenaan dalam melahirkan lebih ramai atlet negeri berprestasi tinggi.

“Kita mahu semua persatuan sukan negeri dapat memainkan peranan proaktif dalam meningkatkan mutu sukan dan melahirkan atlet yang berprestasi tinggi untuk negeri serta negara,” katanya.- Harian Metro