KUALA LUMPUR: Dua kejohanan awal bagi musim 2024 nyata masih belum memihak beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Selepas terkandas di pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia minggu lalu, nasib sama turut dialami mereka di Terbuka India sebentar tadi apabila ditunjuk jalan keluar oleh gandingan ketujuh dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-18 dunia tewas 21-16, 15-21, 13-21 di tangan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2022 dan kekalahan itu secara tidak menamatkan perjalanan mereka di kejohanan berstatus Super750 berkenaan.
Pertemuan itu adalah yang kedua buat kedua-dua pasangan dengan aksi sebelum ini di suku akhir Kejohanan Badminton Asia turut dimenangi gandingan negara jiran itu, 21-16, 21-16.
Pada tahun lalu, Wei Chong-Kai Wun pernah meraih gelaran di Terbuka Taiwan selain dua naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka Arctic.
Sebelum itu, beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Anny Xu-Kerry Xu.
Gandingan di ranking ke-36 dunia itu begitupun dikecewakan pada set pertama apabila tewas 11-21 namun berjaya bangkit pada set kedua 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 21-13.
Untuk rekod, ia adalah pertemuan kali kedua buat mereka dengan kemenangan sebelum ini memihak kepada Vivian-Chiew Sien di pusingan pertama Terbuka Switzerland tahun lalu. -Berita Harian