KUALA LUMPUR: Kecuaian pemain beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi dalam menguruskan visa untuk menyertai Terbuka India 2024 seharusnya menjadi pengajaran dan tidak diulangi oleh mana-mana atlet serta pihak pengurusan pasukan.
Pemerhati sukan negara, Datuk Pekan Ramli berkata, atlet dan pihak pengurusan pemain seharusnya lebih peka dengan isu visa dan kegagalan menguruskannya sudah tentu merugikan atlet itu sendiri, bukan sahaja dari sudut penyertaan ataupun kewangan.
“Bukan nak salahkan pemain itu sendiri tetapi sebagai atlet yang sudah lama berkecimpung, perkara seperti ini kena sentiasa dititikberatkan. Setiap atlet ada tanggungjawab… perkara membabitkan isu perjalanan, visa sebenarnya bukan sahaja tanggungjawab pengurus pasukan tetapi sebagai pemain juga, kena ambil tahu.
“Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada pemain tetapi juga pengurus, mereka kena mengingatkan pemain. Pengurus kena tahu setiap perincian perjalanan. Perkara sebegini kena pastikan kerana ia tanggungjawab mereka.
“Apabila berlaku perkara sebegini, tentunya ia merugikan semua. Ini tanggungjawab, setiap orang ada tanggungjawab. Jadi, tak boleh sama sekali ambil mudah,” kata Pekan.
Semalam, Ee Yi dalam hantarannya di Instastory memaklumkan, dia sudah selamat tiba di India namun terpaksa akur dihantar pulang selepas visanya tidak diterima.
Ee Yi yang bergandingan bersama Ong Yew Sin mengakui kesilapannya memohon e-visa menggunakan pasport lama dan akibatnya, mereka terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka India yang berstatus Super 750.
Ee Yi-Yew Sin selepas ini dijadual menyertai Masters Thailand yang dijadual berlangsung di Bangkok dari 30 Januari hingga 4 Februari nanti. -Berita Harian